SHAH ALAM, 31 OKT: Anjung Utara Selangor disasar memperoleh pengiktirafan sebagai rizab biosfera Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada Julai 2027.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Dato' Ts. Saipolyazan M Yusop berkata permohonan mewujudkan Anjung Utara Selangor Biosphere Reserve (AUSBR) sudah dikemukakan MBI bersama Kerajaan Negeri selepas dibentangkan kepada jawatankuasa berkaitan.
“Ramai sebenarnya tidak tahu bahawa MBI bersama Kerajaan Negeri Selangor sudah mengemukakan permohonan untuk menjadikan kawasan itu sebagai Anjung Utara Selangor Biosphere Reserve.
“Permohonan itu sudah dihantar kepada UNESCO dan mereka terima permohonan kita,” katanya menerusi program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Mengulas potensi kawasan tersebut, Saipolyazan berkata Ban Canal di Sabak Bernam, yang menjadi lokasi penganjuran karnival tahunan, terletak dalam zon penampan rizab biosfera yang dicadangkan.
Menurutnya, pembangunan dan aktiviti pelancongan masih boleh dijalankan di kawasan itu sekiranya mendapat pengiktirafan UNESCO, namun perlu mematuhi dasar serta garis panduan yang ditetapkan
“Kita ada zon teras, penampan, peralihan dan ini adalah zon penampan tempat kita laksanakan program ini.
“Setelah kita mendapat pengiktirafan UNESCO pun kita boleh melaksanakan pembangunan, program dan sebagainya, tapi mengikut dasar-dasar ataupun garis panduan yang diberikan oleh UNESCO,” katanya.
Beliau berkata, keunikan landskap Ban Canal yang dikelilingi kawasan sawah padi dan hutan simpan, selain kekayaan makanan tradisional, kebudayaan serta produk tempatan, menjadi antara tarikan utama ekopelancongan di Sabak Bernam.
Potensi itu turut diperkukuh menerusi penganjuran Karnival Ban Canal yang menggabungkan aktiviti rekreasi mesra alam, pendidikan biodiversiti dan penglibatan komuniti setempat.
Bagi penganjuran 2026, MBI menyasarkan kehadiran sekurang-kurangnya 38,000 pengunjung sepanjang tiga hari karnival yang berlangsung dari 6 hingga 8 November di Parit 14, Simpang Lima, Sabak Bernam.







