SHAH ALAM, 10 MAC: Tourism Selangor membuka pengambilan kumpulan kedua Program Pemandu Pelancong Hos Komuniti Setempat Selangor (HKSS) bagi daerah Hulu Langat dan Gombak sehingga 23 Mac ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling berkata program berkenaan mengalu-alukan penyertaan orang ramai yang berminat berkongsi sejarah, budaya dan keunikan tempatan kepada pelawat.
Menurutnya, setiap daerah akan merekrut seramai 25 pemandu pelancong komuniti dengan latihan dijangka bermula pada Mei.
“Latihan kumpulan pertama memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran penceritaan (storytelling) serta keupayaan mengintegrasi dan menyelaras pemetaan budaya (cultural mapping),” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata, pengambilan kali kedua memberi fokus kepada Hulu Langat dan Gombak susulan usaha memperkukuh potensi pelancongan di kawasan Geopark Gombak-Hulu Langat.

Katanya, langkah itu juga selari dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 serta penilaian semula Geopark Gombak-Hulu Langat selepas diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan pada 2022.
Menurut Yee Ling, Kerajaan Negeri sedang giat memohon agar Geopark Gombak-Hulu Langat diiktiraf sebagai Geopark Global UNESCO.
Sehubungan itu, latihan bagi kumpulan kedua pemandu pelancong komuniti akan turut merangkumi kursus berkaitan pengetahuan geopark bagi memperkukuh pembangunan pelancongan geopark di Selangor.
“Pelancongan geopark mempunyai potensi besar kerana mampu menarik pelancong antarabangsa yang berminat dalam bidang geologi dan ekologi.
“Kami berharap orang ramai dapat merebut peluang ini untuk menyertai latihan dan bersama-sama kerajaan negeri dalam usaha mendapatkan pengiktirafan Geopark Global UNESCO,” katanya.
Beliau turut menggalakkan penduduk sekitar kawasan Geopark Gombak-Hulu Langat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berminat dalam pembangunan pelancongan geopark untuk menyertai program berkenaan.
Sebelum ini, bagi fasa pertama program HKSS, kawasan Kuala Selangor dan Sabak Bernam dipilih sebagai lokasi perintis dengan seramai 49 pemandu pelancong komuniti menamatkan latihan selama tiga bulan pada November tahun lalu.

Mereka menerima sijil tamat latihan daripada EXCO Pelancongan, Dato' Ng Suee Lim.
Menurut Tourism Selangor, program pemandu pelancong komuniti bertujuan melahirkan hos komuniti yang mampu memainkan peranan aktif dalam menyediakan pengalaman pelancongan berasaskan warisan, budaya dan gaya hidup tempatan.
Individu yang berminat perlu berumur antara 19 hingga 60 tahun, fasih berbahasa Melayu dan Inggeris serta mempunyai minat terhadap sejarah, budaya dan warisan tempatan.
Peserta juga perlu komited menghadiri latihan selama 20 hari yang dijalankan setiap Sabtu dan Ahad.
Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui pautan https://linktr.ee/HKSS2026 atau menghubungi Aini di talian 011-62286494.








