Selangor perkukuh pembangunan bandar pintar, infrastruktur digital

15 Okt 2026, 1:30 PM
Selangor perkukuh pembangunan bandar pintar, infrastruktur digital

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Selangor memperkukuh pembangunan bandar pintar menerusi penyediaan rangkaian gentian optik sepanjang 335 kilometer, 700 tiang pintar pelbagai fungsi dan 1,800 kamera berasaskan kecerdasan buatan (AI), dengan Shah Alam sebagai lokasi permulaan.

Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memaklumkan, inisiatif menerusi Smartsel Sdn Bhd itu bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan awam dan memudahkan urusan harian penduduk melalui penggunaan teknologi digital secara bersepadu.

Ketua Bahagian Strategi Kumpulan MBI, Muhammad Hudhaifa Ahmad berkata, pembangunan bandar pintar bukan sekadar menyediakan kemudahan teknologi, sebaliknya memastikan penggunaannya membawa manfaat langsung kepada rakyat.

Ketua Bahagian Strategi Kumpulan MBI, Muhammad Hudhaifa Ahmad ketika Forum Pelaburan Selangor (SIF) 2026 sempena Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Kuala Lumpur pada 15 Oktober 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Teknologi sahaja tidak menjadikan sesebuah bandar itu pintar. Perkara yang lebih penting ialah bagaimana teknologi meningkatkan mutu perkhidmatan awam dan memudahkan kehidupan seharian rakyat.

“Kita mahu beralih daripada projek digital yang bergerak secara berasingan kepada sistem kerajaan digital bersepadu yang mengutamakan keperluan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pembentangan pada Forum Pelaburan Selangor (SIF) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Menurut Muhammad Hudhaifa, pembangunan infrastruktur digital itu turut membuka peluang pelaburan dalam bidang ketersambungan digital, AI, keselamatan siber dan platform digital, termasuk aplikasi NINE yang baru dilancarkan.

Beliau menyifatkan NINE sebagai aplikasi super pertama yang berteraskan perkhidmatan kerajaan negeri.

Selain pembangunan bandar pintar, MBI turut mengenal pasti pengurusan air, pembaharuan kawasan bandar, infrastruktur tenaga dan aeroangkasa sebagai sektor berpotensi menarik pelaburan.

“MBI sedang membangunkan ekosistem air bersepadu yang merangkumi bekalan air, kitar semula air sisa, pemeteran pintar dan penyelesaian tenaga boleh baharu,” katanya.

Menteri Pengangkutan Antony Loke Siew Fook (tengah) bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga kanan) melakukan gimik perasmian pada Majlis Pelancaran Taman Aero Selangor @KLIA Aeropolis di Aero Park, Sepang pada 5 Jun 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Dalam sektor aeroangkasa, Taman Aero Selangor (SAP) di KLIA Aeropolis sedang dibangunkan sebagai kawasan perindustrian seluas kira-kira 243 hektar. GE Aerospace pula dikenal pasti sebagai penyewa utama bagi fasa permulaan pembangunan itu.

Kira-kira 40 hektar diperuntukkan bagi Fasa 1 projek berkenaan.

Muhammad Hudhaifa berkata, ekosistem pelaburan MBI merangkumi 32 anak syarikat langsung dan 72 anak syarikat tidak langsung yang aktif, dengan jumlah tenaga kerja melebihi 11,000 orang dalam sektor hartanah, air, tenaga, penjagaan kesihatan, pendidikan dan infrastruktur digital.

Katanya, MBI turut menggalakkan kerjasama dengan pelabur swasta bagi menggabungkan modal, kepakaran, teknologi dan akses kepada pasaran antarabangsa untuk menyokong pembangunan ekonomi Selangor.

SIBS yang memasuki edisi ke-10 tahun ini berlangsung sehingga Sabtu.

Dianjurkan Invest Selangor Berhad, acara itu menghimpunkan pelabur tempatan dan antarabangsa, syarikat serta pemimpin industri bagi meneroka peluang pelaburan, memperkukuh kerjasama dan merancakkan pertumbuhan ekonomi Selangor.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.