KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Data yang berpecah-pecah, tahap kesiapsiagaan tidak seragam dan proses kerja yang masih bersifat tradisional antara cabaran dalam usaha membangunkan bandar pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Timbalan Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan (BPP) PLANMalaysia, TPr Dr Muhammad Hakimi Mohd Hussain berkata cabaran ketika ini bukan akibat kekurangan teknologi, sebaliknya faktor keupayaan mengurus dan menggunakan data secara berkesan.
“Cabaran sebenar bukan kerana kita tidak mempunyai teknologi tetapi data masih berpecah, tahap kesiapsiagaan juga tidak seragam dan terdapat proses kerja yang masih dilakukan secara tradisional atau manual serta berulang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Seminar Bandar Pintar: Kecerdasan Buatan Memenuhi Perancangan Bandar di Pusat Konvensyen KLGCC di sini semalam.
Dr Muhammad Hakimi memberitahu AI berfungsi sebagai lapisan kecerdasan yang membantu mengesan dan memahami keadaan selain membuat ramalan, memberi tindak balas dan mempelajari corak data.
Namun, beliau berkata penggunaan AI perlu bermula dengan mengenal pasti masalah sebenar sesebuah bandar, bukannya memilihh teknologi terlebih dahulu sebelum menentukan kegunaannya.
“Pelaksanaan AI perlu bermula dengan masalah yang mahu kita selesaikan. Kita tidak sepatutnya memilih teknologi terlebih dahulu kemudian baru mencari masalah yang sesuai (sebenar),” katanya.
Beliau juga menjelaskan AI juga boleh dimanfaatkan untuk membantu proses analisis, ramalan, simulasi serta menghasilkan cadangan bagi menyokong proses perancangan bandar.
Namun, katanya teknologi berkenaan cuma berperanan sebagai alat sokongan manakala keputusan berkaitan perancangan serta tanggungjawab perlu kekal di tangan manusia.








