Pusat kawalan pintar MPKj cekap tangani masalah penduduk

10 Okt 2026, 3:00 AM
Pusat kawalan pintar MPKj cekap tangani masalah penduduk
Pusat kawalan pintar MPKj cekap tangani masalah penduduk
Pusat kawalan pintar MPKj cekap tangani masalah penduduk

HULU LANGAT, 10 OKT: Kajang Smart City Command Centre (KS2C), sebuah pusat kawalan bandar pintar yang beroperasi sepenuhnya mulai 1 Januari tahun ini, membantu usaha menangani isu rakyat.

Menurut yang dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), KS2C memudahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu untuk memantau dan menyelaras operasi pentadbiran di kawasan mereka.

Nazli Md Taib memberitahu faktor lokasi pentadbiran luas dan kepadatan penduduk tinggi antara cabaran besar kepada MPKj dalam membuat pemantauan bandar.

“Tugas pemantauan sememangnya berdepan cabaran besar. Kita perlu memanfaat teknologi dan kecerdasan buatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga manusia selain menjimatkan kos pentadbiran,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau memberitahu pusat kawalan itu memperkukuh pembangunan bandar pintar dan pendigitalan pengurusan kerajaan tempatan selain meningkatkan keupayaan memantau bandar.

Katanya, MPKj kini boleh memantau trafik melalui skrin pemantauan dan memanfaat teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mendapat gambaran lalu lintas dalam kawasan pentadbirannya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Nazli Nazli Md Taib berucap ketika Majlis Perasmian Kajang Smart City Command Center (KS2C) di Menara MPKj, Hulu Langat pada 28 Julai 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANG0R

Beliau berkata MPKj turut memanfaatkan teknologi lain termasuk teknologi satelit bagi memantau keadaan antaranya jalan berlubang dan cerun.

“Jika ada kawasan dikesan mempunyai risiko pergerakan tanah, kita boleh mengarahkan unit berkaitan turun ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan dan mengambil langkah pencegahan.

“Kita tidak boleh menunggu Kerajaan Negeri atau pihak berkaitan menyediakan peruntukan. Sebab itu, kita juga perlu menyediakan sistem pemantauan CCTV mudah alih, khususnya bagi memantau pembuangan sampah haram.

“Lokasi pembuangan sampah haram sentiasa berubah, jadi sistem pemantauan mudah alih antara aspek yang perlu ditingkatkan dan perkukuh pada masa depan," katanya kepada Media Selangor.

Menurut Nazli, KS2C dilengkapi pelbagai sistem, platform dan infrastruktur bandar pintar bagi memantau bandar serta pengurusan operasi harian termasuk 63 kamera litar tertutup (CCTV).

Katanya, butang kecemasan juga disediakan di taman rekreasi iaitu lima di Taman Tasik Cempaka, Taman Tasik Sungai Chua (dua), Stadium Kajang (satu) dan Kompleks Sukan Seksyen 15 (satu).

Beliau memaklumkan KS2C masih pada peringkat awal dan akan diperkasa de-ngan elemen dan aplikasi baharu selaras perkembangan era digital bagi meningkatkan fungsinya pada masa depan.

Namun, katanya, KS2C belum dirancang untuk menjadi pusat khusus bagi menjalankan analisis dan ramalan data termasuk membuat unjuran berdasarkan data jenayah.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Dr Ahmad Fadzli dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Nazli Md Taib bergambar bersama kakitangan serta wakil agensi selepas mendengar taklimat mengenai Kajang Smart City Command Centre (KS2C) di Menara MPKj, Hulu Langat pada 28 Julai 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

"Belum ada perancangan untuk menjadikan KS2C sebagai pusat analisis dan ramalan, khususnya berkaitan data jenayah, kita bersedia untuk berkongsi data dengan pihak lain,” katanya.

Nazli menegaskan tenaga kerja manusia yang teratur dan bertanggungjawab tetap penting lantaran sikap sambil lewa atau kurang proaktif boleh menjejaskan kecekapan teknologi canggih.

“Kita tetap memerlukan tenaga kerja yang teratur dan bertanggungjawab untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat. Jadi, kedua-duanya perlu diseimbang,” kata beliau.

Menurutnya, penilaian kendiri dibuat bagi mengenal pasti kelemahan aspek penyampaian termasuk mengadakan latihan dan kursus kemahiran bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan kepada rakyat.

“Saya ingin menegaskan bahawa KS2C hanyalah satu alat. Mereka yang mengendalikan dan memantau alat ini sebenarnya adalah kita sendiri,” katanya.

Beliau menjelaskan setiap PBT sebenarnya memiliki pusat pemantauan berasingan yang mengawasi perkara tertentu seperti banjir dan pembuangan sampah haram sebelum pusat kawalan itu dibuat.

“Cuma sekarang, fungsi-fungsi sedia ada itu disepadu ke dalam satu platform melalui penubuhan KS2C,” katanya.

Bantu polis jejak penjenayah

Selain memantau trafik, bencana alam dan sampah haram, KS2C menjadi ‘mata’ pihak berkuasa bagi mengesan kes jenayah dan menjejaki suspek.

Menurut Nazli, pihaknya bekerjasama dengan polis Kajang dalam aspek pemantauan CCTV dan isu keselamatan.

Beliau juga menjelaskan rakaman liputan 63 CCTV turut dikongsi dengan polis Kajang untuk membantu pemantauan awam, penyiasatan kes dan menjejak penjenayah.

“Mekanisme perkongsian maklumat ini membantu kami mendapat gambaran keadaan keselamatan dalam kawasan pentadbiran selain memudahkan penyelarasan dan tindakan pantas kedua-dua pihak jika berlaku kejadian yang memerlukan campur tangan polis."

Fakta Kajang Smart City Command Centre (KS2C). GRAFIK FARAH AZILA MUSTAPHA

Nazli memberitahu sistem pemantauan CCTV PBT sebelum ini pernah membantu polis Bukit Aman dalam mendapat maklumat penting dan menjejak pergerakan penjenayah.

“Walaupun kes itu tidak berlaku dalam kawasan pentadbiran MPKj, sekurang-kurangnya polis dapat menjejak pergerakan suspek melalui rakaman pemantauan,” katanya lagi.

Selain itu, beliau berkata KS2C juga berfungsi sebagai wadah yang mengumpulkan pelbagai aduan penduduk dan peniaga seterusnya memudahkan tindakan balas PBT dengan lebih pantas dan cekap.

Katanya, pengendalian isu rakyat yang meliputi banyak bidang sebelum ini sering memerlukan MPKj menghubungi beberapa jabatan secara berasingan yang melalui proses rumit dan masa panjang.

“Selepas KS2C ditubuh, unit-unit berkaitan boleh berhubung dan menyelaras tindakan menerusi satu platform yang sama.

“Sekarang, boleh dikatakan hanya satu klik, kita boleh hubungi unit berkaitan untuk menangani isu rakyat, sekali gus meningkatkan kecekapan dan memudahkan proses penyelarasan,” katanya.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.