PETALING JAYA, 4 SEPT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berjaya meluluskan projek perluasan kilang pintar NXP Malaysia Sdn Bhd dalam tempoh 25 hari menerusi inisiatif Speed Selangor, lebih pantas daripada tempoh maksimum 30 hari ditetapkan.
Datuk Bandarnya, Dato' Mohd Yazid Sairi berkata kejayaan itu turut mencatat sejarah buat MBPJ apabila menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) ketiga di Selangor yang melaksanakan inisiatif berkenaan.
"Kejayaan projek ini sebenarnya membuktikan bahawa Speed Selangor mampu untuk mempercepatkan proses kelulusan, meningkatkan kecekapan dan juga mudah cara pelaburan tanpa mengabaikan aspek teknikal perancangan serta alam sekitar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kelulusan Pelan Pembangunan di bawah Inisiatif Speed Selangor@MBPJ di Menara MBPJ di sini, hari ini.

Mohd Yazid berkata keputusan NXP yang bertapak di Malaysia sejak 1972 untuk melabur semula dan memperluas operasinya mencerminkan keyakinan pelabur global terhadap ekosistem perniagaan serta potensi Selangor, khususnya Petaling Jaya.
Menurutnya, projek berkenaan melibatkan pembinaan jambatan penghubung antara kampus utara dan selatan NXP di Zon Perindustrian Bebas Sungei Wey sebagai sebahagian daripada perluasan kilang pintar semikonduktor berautomasi tinggi.
Perluasan itu dijangka menambah kira-kira 500,000 kaki persegi ruang pengeluaran, menjadikan keseluruhan ruang pengeluaran NXP di Petaling Jaya sekitar 900,000 kaki persegi.
Kilang pintar itu juga akan menggunakan Sistem Pengendalian Bahan Automatik (AMHS) serta teknologi pengurusan kualiti termaju bagi meningkatkan kecekapan operasi.
"Saya dimaklumkan bahawa menjelang pengeluaran pada suku pertama tahun 2028, kapasiti pengeluaran NXP di Petaling Jaya disasarkan meningkat lebih dua kali ganda.
"Saya percaya bahawa langkah ini dapat memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global bagi segmen pemasangan, pengujian dan juga pembungkusan cip ataupun 'back-end' daripada 13 peratus ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Yazid berkata MBPJ turut bersedia menawarkan Lesen Perniagaan Sementara selama enam bulan apabila pembinaan projek mencapai tahap 80 peratus bagi membolehkan proses pengujian mesin dilaksanakan lebih awal.
"Lesen perniagaan penuh akan dikeluarkan dalam tempoh 24 jam selepas Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dikemukakan, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan," jelasnya.
Menurutnya, kejayaan projek perintis itu memberi isyarat bahawa Petaling Jaya bersedia menerima dan memudah cara pelaburan berteknologi tinggi, selain komited memastikan pertumbuhan ekonomi diseimbangkan dengan kawal selia yang cekap, telus dan bertanggungjawab.
"Kita akan cuba sebaik mungkin untuk mengelakkan birokrasi menjadi penghalang kepada pelaburan dan sebaliknya kita akan terus membawa memperkukuhkan pendekatan yang pantas, cekap dan juga berkesan bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif.
"Sehubungan itu, saya mengalu-alukan untuk lebih banyak lagi pelaburan dalam sektor strategik seperti semikonduktor, ekonomi digital, aeroangkasa, automotif, teknologi tinggi dan juga ekonomi kreatif untuk bertapak dan juga berkembang di Petaling Jaya," katanya.







