PETALING JAYA, 4 SEPT: Pelaksanaan Speed Selangor bagi projek perluasan NXP Malaysia Sdn Bhd membuktikan proses kelulusan pembangunan yang lebih pantas mampu menjimatkan masa dan kos pemohon, selain meningkatkan keyakinan pelabur terhadap ekosistem pelaburan negeri.
Datuk Bandar Petaling Jaya Dato' Mohd Yazid Sairi berkata pendekatan itu memberi penekanan kepada sesi libat urus antara pemohon, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi teknikal bagi memastikan syarat serta dokumen permohonan dilengkapkan lebih awal sebelum kelulusan diberikan.
"Daripada segi kebaikan, tentunya dari segi penggunaan masa. Mereka tidak perlu menunggu tempoh masa yang lama untuk memulakan kerja-kerja dan juga dari segi kos.
"Bila masa yang diambil terlalu panjang, saya percaya kos 'overhed' yang perlu ditanggung oleh pihak industri ataupun pihak pemohon akan menjadi lebih tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kelulusan Pelan Pembangunan di bawah Inisiatif Speed Selangor@MBPJ di Menara MBPJ di sini, hari ini.

Menurutnya, proses kelulusan yang lebih pantas tidak bermakna aspek kawal selia diketepikan kerana pemohon masih perlu mematuhi semua syarat pembangunan ditetapkan termasuk berkaitan perancangan, kejuruteraan dan landskap.
"Sekiranya ada perkara yang telah diluluskan tapi tidak dilaksanakan oleh pihak pemaju, pemohon atau agensi yang berkaitan tindakan akan dikenakan berdasarkan kepada seksyen dalam akta-akta yang diguna pakai oleh jabatan ataupun agensi berkenaan," tegasnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan NXP Malaysia Sdn Bhd, Goon Ben Nee berkata kelulusan dalam tempoh kurang sebulan memberi keyakinan kepada pelabur terhadap keupayaan Selangor mempercepatkan proses pembangunan.
"Ia memberi keyakinan yang tinggi kepada pelabur, bukan sahaja dari Malaysia sahaja tetapi pihak korporat di Amerika Syarikat atau Eropah untuk melihat keupayaan Selangor meluluskan sesuatu dengan begitu cepat dan menjamin lebih banyak peluang," katanya.
Menurut beliau, perluasan operasi NXP bukan sahaja menawarkan peluang pekerjaan sebagai operator dan juruteknik, malah membuka lebih banyak pekerjaan bernilai tinggi dalam bidang reka bentuk litar bersepadu (IC), pembangunan pakej dan pembangunan ujian.
"Ia sebenarnya meningkatkan rantaian nilai graduan di Malaysia dan seperti yang telah ditunjukkan berkali-kali, pihak berkuasa tempatan dan Kerajaan Negeri boleh membantu mempercepatkan perkara ini dan mereka akan menggalakkan lebih ramai pelabur," jelasnya.
Beliau turut memaklumkan NXP sedang meneliti kemungkinan untuk melaksanakan perluasan selanjutnya susulan keyakinan hasil kerjasama dengan MBPJ dan pelaksanaan Speed Selangor.







