SHAH ALAM, 8 Julai: Kerajaan Negeri meneroka potensi kerjasama strategik dengan Institute for Transportation and Development Policy (ITDP) Indonesia bagi memperkukuh agenda mobiliti serta pembangunan sistem pengangkutan awam yang mampan di Selangor.
EXCO Mobiliti Ng Sze Han berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuan bersama Pengarah Asia Tenggara ITDP, Gonggomtua Sitanggang yang memfokuskan aspek mobiliti bandar mampan dan perancangan pengangkutan awam.
"ITDP yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat (AS) serta mempunyai operasi Asia Tenggara di Jakarta merupakan organisasi antarabangsa yang berperanan membentuk dasar pengangkutan mampan di bandar-bandar seluruh dunia.
"Kerjasama bersama organisasi seperti ITDP Indonesia hadir pada masa yang tepat ketika Selangor memperkukuh agenda mobiliti bagi membangunkan sistem pengangkutan yang lebih bersepadu dan berorientasikan rakyat," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Sze Han, kerjasama dengan ITDP Indonesia sejajar dengan usaha Selangor memperkukuh agenda mobiliti ke arah sistem pengangkutan yang lebih mudah diakses, inklusif dan mampan untuk semua.
Beliau berkata antara kejayaan utama organisasi itu ialah peranannya sebagai penasihat teknikal dalam pembangunan TransJakarta, sistem Bas Rapid Transit (BRT) pertama di Asia yang dilancarkan pada 2004 dan kini antara sistem BRT terkemuka dunia.
Katanya, Selangor turut melihat peluang untuk meneroka kerjasama dengan ITDP Indonesia pada masa depan dalam usaha meningkatkan sistem pengangkutan awam di negeri ini.
Pertemuan itu diadakan sempena lawatan kerja delegasi Selangor ke Jakarta yang turut disertai pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, Rantaian Mesra Sdn Bhd (RMSB) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).








