HULU SELANGOR, 16 OKT: Aspek kebersihan dan keselamatan antara faktor utama yang dipertimbang penggemar kegiatan perkhemahan sebelum memilih lokasi penginapan.
Pengunjung, Faridah Nadhirah Ashraf, 26, berkata tapak perkhemahan bersih bukan sahaja memberi keselesaan, malah meningkatkan keyakinan mereka untuk kembali semula ke lokasi sama.

Beliau memberitahu tanggapan kegiatan itu sinonim dengan keadaan kotor dan tidak selesa tidak semestinya benar jika pengusaha benar-benar mengurus tapak dengan baik.
“Saya juga akan pilih lokasi yang ada tandas bersih kerana itu perkara pertama yang saya tengok. Bila tapak bersih, cantik dan tandas selesa, kita rasa lebih yakin untuk berkhemah,” katanya ketika ditemui di Hulu Tamu Eco Resort dekat sini.
Christine Leong Sau Kin, 41, pula menegaskan aspek keselamatan menjadi keutamaannya termasuk memilih lokasi jauh dari laluan kepala air dan pemantauan paras sungai semasa hujan dibuat.
“Pengusaha yang sentiasa memantau paras air ketika hujan juga membuatkan kami rasa lebih yakin. Kalau tandas cukup, bersih dan berasingan lelaki serta wanita, itu juga sangat membantu,” katanya.

Penggemar perkhemahan dari Klang itu juga memaklumkan beliau berkhemah hampir setiap bulan kerana kegiatan luar tersebut lebih murah berbanding menginap di hotel.
Beliau berkata kemudahan seperti soket elektrik di setiap tapak turut menjadi nilai tambah yang memudahkan pengunjung terutama kalangan mere-ka yang berkhemah untuk tempoh panjang.
Bapa kepada dua anak, Muhammad Akif Irfan Afandi, 31, pula memberitahu tapak yang bersifat mesra kanak-kanak, selamat dan ada kemudahan elektrik 24 jam menjadi keutamaannya.
“Saya memang kerap bawa dua anak berkhemah kerana mereka aktif dan saya mahu mereka dapat ‘grounding’ (sebati) dengan alam.

“Kalau hotel, semuanya sudah tersedia, tetapi berkhemah memberi peluang kepada kami buat sendiri banyak perkara dan pada masa sama dapat mengeratkan hubungan keluarga,” katanya.
Menurut beliau, pengurusan tapak yang baik bukan hanya bergantung kepada pengusaha sebaliknya memerlukan kerjasama pengunjung untuk menjaga kebersihan dan tidak membuat vandalisme.
Muhammad Akif menjelaskan media sosial juga memainkan pera-nan besar dalam memperkenal tapak perkhemahan termasuk lokasi tersembunyi yang sebelum ini kurang diketahui orang ramai.
“Orang sekarang banyak tengok media sosial dan ulasan pengunjung sebelum memilih lokasi. Jadi, tapak bersih, selesa dan ada kemudahan baik biasanya lebih mudah mendapat perhatian.
“Namun, apabila sudah semakin dikenali, pengurusan perlu dipertingkat supaya kebersihan dan keselesaan pengunjung terus terjaga,” katanya.










