Aktiviti hutan gamit kehadiran ramai pelancong

16 Okt 2026, 3:00 AM
Aktiviti hutan gamit kehadiran ramai pelancong
Aktiviti hutan gamit kehadiran ramai pelancong

HULU SELANGOR, 16 OKT: Produk pelancongan perkhemahan di Hulu Selangor berpotensi besar untuk menjadi daya tarikan utama ke negeri ini.

Menurut pengurus Jabatan Pembangunan Pakej dan Produk Tourism Selangor, lokasi itu antaranya Hulu Tamu Eco Resort (HTER Campsite) dan Sojuk Riverside di Batang Kali selain Rasa Durio Eco Glampz di Rasa.

Renuga Devi Sivamoorthy menjelaskan kawasan tersebut menjadi pilihan ramai untuk menikmati pengalaman bermalam dalam suasana alam semula jadi selain Moonkissed by the River di Hulu Langat.

Pengurus Jabatan Pembangunan Pakej dan Produk Tourism Selangor Renuga Devi Sivamoorthy

“Antara kumpulan yang semakin tertarik dengan perkhemahan ialah Gen Z (Generasi Z) yang gemar mencari pengalaman ‘healing’ (bersantai) untuk berehat dari kesibukan rutin harian.

“Mereka bukan sahaja mahu menikmati alam semula jadi, tetapi juga berinteraksi, mencuba aktiviti luar dan mencipta pengalaman bersama rakan-rakan,” katanya kepada Media Selangor.

Katanya, Selangor ada banyak tarikan semula jadi termasuk sungai, hutan dan kawasan tanah tinggi yang menyokong kegiatan perkhemahan termasuk konsep glamping (glamor dan camping).

Menurut Renuga Devi, perkembangan sektor itu turut berpotensi membawa limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat melalui penginapan, makanan, rekreasi dan jualan produk tempatan.

Namun, katanya, pelancongan perkhemahan perlu bergerak seiring aspek pelesenan, keselamatan, kebersihan dan pemeliharaan alam sekitar bagi memastikan ia berkembang secara mampan.

Faridah Nadhirah Ashraf, 26, bersama rakannya mengemas barangan mereka di Hulu Tamu Eco Resort, Batang Kali pada 27 September 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Tourism Selangor hanya mempromosi tapak perkhemahan yang mempunyai lesen dan mengutamakan aspek keselamatan pengunjung.

“Ini penting kerana kita mahu pengunjung mendapat pengalaman yang baik, pada masa sama memastikan keselamatan dan kelestarian kawasan semula jadi terus terpelihara,” katanya.

Renuga Devi berkata Tourism Selangor juga mahu memperkukuh kerjasama dengan pengusaha tapak, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatan teknikal bagi meningkatkan piawaian pengurusan, promosi serta keselamatan.

Beliau memberitahu usaha itu termasuk berkongsi maklumat berkaitan tapak berlesen, latihan pengurusan, kesedaran keselamatan serta promosi bersama bagi premis yang memenuhi kriteria.

“Sebagai contoh, Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bersama jabatan teknikal berkaitan melaksanakan inisiatif menyediakan garis panduan khas bagi memproses kelulusan premis inap dusun yang merangkumi tapak perkhemahan.

“Inisiatif seperti ini penting bagi membantu pengusaha memahami keperluan kelulusan dan pengoperasian premis dengan lebih jelas,” katanya lagi.

Selain itu, Renuga Devi menjelaskan media sosial turut memainkan peranan penting dalam memperkenal destinasi ekopelancongan termasuk tapak perkhemahan kepada khalayak lebih luas.

Katanya, kandungan berbentuk video pengalaman pengunjung, suasana tapak dan aktiviti yang ditawarkan mampu menarik perhatian orang ramai selain membantu mereka merancang perjalanan.

Namun, beliau memaklumkan promosi di media sosial tidak seharusnya tertumpu kepada keindahan destinasi semata-mata, sebaliknya perlu membawa mesej pelancongan bertanggungjawab.

“Dalam mempromosi tapak perkhemahan, kita juga perlu menyampaikan mesej supaya pengunjung menjaga kebersihan sungai, membawa pulang sampah dan menghormati komuniti setempat.

“Promosi yang baik bukan hanya membawa lebih ramai pengunjung, tetapi pada masa sama mendidik mereka supaya menjaga kawasan yang dikunjungi,” katanya.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.