Bermalam ditemani sungai di lima lokasi Hulu Selangor

21 Okt 2026, 4:00 AM
Bermalam ditemani sungai di lima lokasi Hulu Selangor
Bermalam ditemani sungai di lima lokasi Hulu Selangor
Bermalam ditemani sungai di lima lokasi Hulu Selangor
Bermalam ditemani sungai di lima lokasi Hulu Selangor

Hulu Selangor mempunyai kawasan Hutan Simpanan Kekal seluas lebih 80,000 hektar sekali gus menjadi ‘paru-paru’ negeri.

Tarikan alam semula jadinya sentiasa menggamit pandangan dan sering menjadi tumpuan penggemar aktiviti luar ke daerah ini bagi merasai sendiri pengalaman mendaki, berkhemah, meredah jeram, juga luncur udara.

Tourism Selangor memaklumkan Hulu Selangor ini turut menjadi pilihan utama peminat aktiviti perkhemahan kerana tawaran pelbagai lokasi penginapan menarik yang kian tumbuh bak cendawan.

Kesempatan itu dimanfaat pemilik tapak perkhemahan yang berlumba-lumba menawarkan kemudahan buat pengunjung termasuk bekalan elektrik 24 jam, tandas bersih dan paling penting sungai yang cantik.

Jika anda sedang mencari lokasi kedamaian dari hiruk-pikuk kota raya pada hujung minggu, wartawan Nadiah Zamlus menyenaraikan lima tapak perkhemahan menarik dan paling penting sudah memiliki lesen operasi Majlis Perbandaran Hulu Selangor.

Rasa Hill Lodge, Kampung Sungai Engkak, Rasa

Rasa Hill Lodge, Kampung Sungai Engkak, Rasa

Terletak kira-kira 45 minit perjalanan dari Kuala Lumpur, lokasi ini berbukit serta dilitupi pepohon tinggi dengan tiga zon khemah serta pilihan berbeza mengikut keperluan pengunjung.

Zon pertama mempunyai tapak berplatform, sesuai untuk mereka yang mahu berkhemah dengan lebih selesa. Zon kedua pula menawarkan ruang lebih kecil untuk penggemar aktiviti solo. Bagi keluarga yang membawa anak kecil, zon ketiga lebih versatil dan mesra kanak-kanak.

Berbeza dengan tapak perkhemahan lain, di sini ada kolam mandi kanak-kanak yang sudah pasti memberi pengalaman manis buat si kecil. Kemudahan soket elektrik di setiap tapak dan tandas bersih juga mampu memberikan pengalaman lebih baik.

Tok Ba Campsite, Jalan Sungai Tamu, Batang Kali

Tok Ba Campsite, Jalan Sungai Tamu, Batang Kali

Bayangkan, buka saja pintu khemah pada waktu pagi, mata anda terus disambut pemandangan sungai jernih juga udara dingin. Itulah antara pengalaman yang ditawarkan tapak perkhemahan di sini.

Terletak dalam kawasan kebun durian, suasana redup menjadikannya antara pilihan bagi mereka yang mahu berehat sambil menikmati bunyi sungai dan merasai kesegarannya.

Jangan lupa membawa buaian gantung atau ‘hammock’ untuk melengkapkan pengalaman percutian anda di sini.

Sojuk Riverside, Kampung Kuantan, Batang Kali

Sojuk Riverside, Kampung Kuantan, Batang Kali

Keistimewaannya terletak pada tapak khemah berbatu sekali gus membantu khemah kekal lebih bersih berbanding permukaan tanah berlumpur. Sungainya yang landai sesuai untuk pengunjung bermain menggunakan pelampung tiub.

Dari segi kemudahan, tapak ini menyediakan bekalan elektrik 24 jam, tandas dan bilik mandi, ruang dapur serta kemudahan memanggang. Anda juga boleh nikmati aktiviti memasak dan berkumpul bersama rakan atau keluarga pada waktu malam.

Bagi yang mahu merasai pengalaman bermalam berbeza, terdapat juga pilihan kabin ‘Teratak Bergoyang’ dengan anggaran harga tapak sekitar RM80 hingga RM250, bergantung pada pilihan dan pakej.

Pelangi Hill Resort Campsite, Taman Lembah Damai, Kerling

Pelangi Hill Resort Campsite, Taman Lembah Damai, Kerling

Mata anak anda pasti tertangkap pada kemudahan gelongsor air di tapak khemah ini. Bagi keluarga yang membawa banyak barang, kemudahan meletakkan kenderaan di sebelah tapak khemah pastinya menggamit pelanggan untuk kembali datang ke sini.

Tidak perlu bersusah payah mengangkat terlalu jauh alatan seperti khemah, kerusi lipat dan bekalan makanan. Setiap tapak dilengkapi paip air dan soket elektrik yang boleh digunakan sepanjang masa.

Ruang perkhemahan yang luas dan pelbagai kemudahan asas menjadikan lokasi berkenaan sesuai untuk aktiviti berkumpulan, percutian keluarga atau pertemuan bersama rakan-rakan.

Hulu Tamu Eco Resort, Hulu Tamu, Batang Kali

Hulu Tamu Eco Resort, Hulu Tamu, Batang Kali

Sungainya cantik, tandas di sini juga bersih antara faktor peminat aktiviti khemah kerap berkunjung ke situ. Khemah yang didirikan sebelah sungai membolehkan orang ramai berehat sambil mendengar bunyi aliran sungai.

Terdapat 24 tapak disediakan dan setiapnya disediakan soket elektrik 24 jam. Pemiliknya juga menyediakan troli khas membawa barangan sekiranya tapak anda jauh daripada kenderaaan.

Lebih menarik di sini, pemiliknya mengamalkan konsep ‘zero discharge policiy’, tiada sisa buangan dilepaskan terus ke sungai sekali gus menjadikan sungainya begitu bersih.

​

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.