Demi sungai dan kelip-kelip, suami isteri pilih alam berbanding untung

15 Okt 2026, 7:00 AM
Demi sungai dan kelip-kelip, suami isteri pilih alam berbanding untung
Demi sungai dan kelip-kelip, suami isteri pilih alam berbanding untung
Demi sungai dan kelip-kelip, suami isteri pilih alam berbanding untung
Demi sungai dan kelip-kelip, suami isteri pilih alam berbanding untung

Tanah seluas enam ekar yang dibeli Mohamed Taufik Omar dan isteri Tengku Elisa Bustaman pada tahun 2017 di ceruk hutan Hulu Tamu asalnya mahu dijadikan kebun durian.

Namun, dek panoramanya indah termasuk Sungai Tamu merentanginya, mereka menjadikan sebahagian kawasan tersebut sebagai tapak perkhemahan.

Apatah lagi, hobi berkhemah menjadi kegilaan ramai pada masa itu. Mereka menamakannya sebagai Hulu Tamu Eco Resort (HTER Campsite). Namun, meski saiz tanah mereka luas, cuma 24 lot tapak dibuka.

Bagi pasangan berkenaan, keuntungan bukan segala-galanya. Mereka lebih berminat untuk berkongsi keindahan alam Hulu Tamu dengan penggemar kegiatan rekreasi.

“Dulu masa kami mula-mula datang, kawasan ini memang sangat hijau. Pagi-pagi berkabus dan suasananya masih sangat semula jadi,” kata bekas pengarah syarikat minyak kepada Media Selangor.

Pemilik Hulu Tamu Eco Resort Mohamed Taufik Omar dan isteri Tengku Elisa Bustaman Tengku Mohd Ali ketika ditemui di tapak perkhemahan mereka di Batang Kali pada 27 September 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Tapak yang dibuka pada hujung minggu itu selalu penuh ditempah. Malah, ada pelanggan terpaksa berebut menyewa tapak, lebih-lebih lagi musim cuti sekolah.

Walaupun banyak permintaan menambah lot tapak, mereka menolak. Malah, pasangan itu pernah membatal rancangan membuka tapak baharu semata-mata lokasinya berhampiran habitat kelip-kelip.

“Kami tak mahu terlalu banyak atau terlalu besar kerana mahu kekalkan kehijauan dan habitat asal kawasan hutan ini. Dulu pernah merancang untuk tambah lima hingga enam tapak lagi, tetapi kawasan itu berhampiran habitat kelip-kelip.

"Kalau buka, cahaya pada waktu malam mungkin mengganggu kelip-kelip, jadi kami batalkan rancangan. Kami pilih kualiti, bukan kuantiti. Pada saya kualiti hidup lebih penting,” kata lelaki berusia 54 tahun itu.

Pasangan tersebut juga sentiasa menjaga sungai yang mengelilingi tapak khemah. Di situ sungainya dipenuhi ikan kelah dan ikan sebarau. Namun pengunjung dilarang memancing. Begitu juga tumbuhan, tidak boleh dipetik sesuka hati.

Dalam memastikan alam terus terpelihara, mereka sanggup mengeluarkan kos tambahan dengan mengamal konsep (pelepasan sifar) di tapak khemah.

Kanak-kanak gembira ketika berkhemah di Hulu Tamu Eco Resort, Batang Kali pada 27 September 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Menurut Mohamed Taufik, semua kumbahan daripada tandas dan kemudahan tertentu disalur ke tangki septik sebelum diselenggara Indah Water Konsortium (IWK) secara berkala.

“Setiap enam bulan, kami panggil IWK untuk menyelenggara tangki septik. Kami juga gunakan perangkap minyak, kawalan makhluk perosak dan memastikan sampah dikutip secara berkala.

“Tidak ada satu pun sisa dari pengunjung lepas ke dalam sungai. Kos untuk menjaga alam sekitar memang mahal, tetapi ia lebih berharga,” tegasnya lagi.

Tengku Elisa Bustaman pula menganggap usaha menjaga alam bukan sekadar tanggungjawab pengusaha tetapi suatu amanah. Beliau berharap lebih ramai pengusaha meletakkan kelestarian sebagai asas operasi, bukannya sekadar mengejar keuntungan wang ringgit.

“Kami harap Hulu Selangor kekal sebagai hab kehijauan di Selangor. Jangan terlalu pesat membangun sampai pokok ditebang dan kawasan hijau hilang. Kalau hilang, tidak boleh ganti.

“Kalau mahu buka tapak perkhemahan, jangan tebang semua pokok. Itu bertentangan dengan konsep perkhemahan itu sendiri,” kata bekas jurutera kelahiran Terengganu itu.

Pengunjung berkemas dan memastikan tapak khemah mereka bersih di Hulu Tamu Eco Resort, Batang Kali pada 27 September 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Pasangan itu juga mengakui bimbang terhadap pembangunan tidak terkawal termasuk penebangan hutan, pembinaan premis atau kandang haiwan tanpa kelulusan.

“Paling takut kalau ada pihak datang dan tebang pokok atau buat aktiviti tanpa lesen. Kalau pokok ditebang, tanah terdedah dan lumpur masuk ke sungai. Sungai tercemar dan ikan pula tidak boleh hidup.

“Sebab itu kalau nampak aktiviti tidak berlesen, kami segera laporkan kerana sungai ini perlu dijaga bersama,” katanya.

Bagi mereka, tapak perkhemahan bukan sekadar lokasi bercuti, sebaliknya tempat manusia menghargai alam. Walaupun keuntungan tidak besar, mereka memilih untuk memastikan khazanah alam terus terpelihara.

“Buka tapak khemah bukan untuk kaya. Tapi kami berdua dapat kebahagiaan dan kepuasan. Kalau sungai bersih, pokok masih ada dan orang datang menikmati alam dengan selesa, itu pun sudah cukup puas untuk kami,” katanya.

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.