HULU SELANGOR, 16 OKT: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) mengeluarkan lesen operasi kepada tujuh tapak perkhemahan manakala 12 lagi dalam peringkat kelulusan melalui proses pemutihan.
Menurut Yang Dipertuanya Julaihah Jamaludin, pemutihan itu dibuat ekoran tragedi tanah runtuh yang mengorbankan 31 orang termasuk 13 kanak-kanak di Batang Kali pada tahun 2022.
“Pemutihan bukan semata-mata memastikan operator ada lesen atau menjalankan perniagaan secara sah tetapi lebih penting memastikan aspek keselamatan dan kesihatan pengunjung dapat dikawal,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau menjelaskan 63 tapak sedemikian yang dikenal pasti sejak proses pemutihan dibuat dua tahun lalu dan menyeru pengusaha yang belum memiliki lesen supaya bekerjasama dengan MPHS.
Mengikut garis panduan, katanya, tapak perkhemahan perlu berada sekurang-kurangnya 20 meter dari gigi air bagi mengurangkan risiko jika berlaku peningkatan paras sungai atau kepala air.
“Antara perkara utama yang diberi perhatian ialah risiko kepala air dan tanah runtuh terutama kerana terdapat pengunjung yang gemar mendirikan khemah terlalu hampir dengan sungai,” katanya.
Julaihah memberitahu MPHS memberi tumpuan kepada aspek keselamatan pengunjung dalam proses pemutihan berikuitan peningkatan acara ekopelancongan termasuk perkhemahan di sekitar sini.
Julaihah berkata kedudukan Hulu Selangor yang dikelilingi Banjaran Titiwangsa dan lebih 60 peratus terdiri hutan menjadikan daerah itu berpotensi dalam aktiviti ekopelancongan.
Beliau menjelaskan kewujudan sungai bersih, dusun dan persekitaran semula jadi mendorong pemilik tanah mengubah sebahagian kebun menjadi tapak perkhemahan khususnya selepas pandemik.
“Memang kita menggalakkan aktiviti seperti ini kerana ia memberi peluang kepada pemilik dusun menjana pendapatan tambahan dan pada masa sama membawa masyarakat khususnya dari kawasan bandar lebih dekat dengan alam semula jadi.
“Namun, apabila orang datang berkhemah, tanggungjawab operator bukan sekadar menyediakan tapak dan tempat untuk tidur, tetapi memastikan keselamatan serta kebersihan pengunjung terjamin,” katanya.
Beliau menegaskan kes tanah runtuh yang mengorbankan puluhan nyawa pada 2022 di Batang Kali antara faktor MPHS mempergiat usaha memastikan tapak perkhemahan mematuhi aspek keselamatan.
Selain itu, Julaihah berkata aspek kebersihan seperti pengurusan sampah, tandas dan tangki kumbahan antara syarat yang perlu dipatuhi pemilik tapak bagi mengelakkan pencemaran sungai.
“Kalau tangki kumbahan melimpah, air buangan boleh masuk ke sungai. Di kawasan kita, kalau satu su-ngai tercemar, ia bukan sahaja memberi kesan kepada satu tapak perkhemahan kerana mungkin ada tapak lain di hilir.
“Jadi operator perlu faham bahawa penyelenggaraan tapak sama penting dengan menyediakan kemudahan kepada pengunjung,” katanya.

Beliau menjelaskan MPHS tidak mahu proses pemutihan dilihat tindakan penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya menggalakkan pemilik tapak tampil bertemu PBT untuk nasihat dan panduan.
Katanya, pemilik yang ada isu berkaitan status tanah, cerun atau sungai boleh merujuk agensi berkaitan bagi memastikan tapak mereka benar-benar sesuai untuk kegiatan perkhemahan.
“Kita tidak mahu terus menghukum mereka jika tiada lesen. Buat masa ini, kita menggalakkan pemilik tapak datang berjumpa dengan majlis.
“Kita akan tengok apa yang perlu diperbaiki. Jika melibatkan cerun, kita boleh hubungkan dengan agensi teknikal berkaitan. Begitu juga berkaitan sungai atau tanah kerajaan,” katanya.
Menurut Julaihah, MPHS sentiasa menyambut baik rekreasi seperti perkhemahan kerana ia memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat kerana pengunjung yang bermalam akan berbelanja.
“Apabila datang dua atau tiga hari, mereka bukan hanya membayar tapak perkhemahan. Mereka makan di kedai makan, beli barang di kedai runcit, menggunakan dobi dan beli keperluan lain.
“Jadi perkhemahan sebenarnya boleh menggerakkan ekonomi setempat dan membantu mengembangkan sektor ekopelancongan Hulu Selangor,” katanya.
Juhailah juga memaklumkan MPHS akan terus mengemas kini senarai tapak perkhemahan yang selesai melalui proses pemutihan supaya orang ramai dapat memilih lokasi lebih selamat.








