KUALA LUMPUR, 15 OKT: Selangor perlu mengutamakan sistem pengangkutan awam yang lebih mesra pengguna, cekap dan bersepadu bagi memenuhi keperluan harian rakyat, bukan sekadar menumpukan kepada kenderaan serta masalah kesesakan lalu lintas.
EXCO Mobiliti Ng Sze Han berkata perancangan bandar dan mobiliti perlu mengambil kira keseluruhan perjalanan pengguna bagi memastikan perkhidmatan pengangkutan awam lebih mudah diakses.
“Pemilihan masa untuk mengadakan simposium ini amat tepat. Mobiliti merupakan pemangkin utama kepada pertumbuhan perniagaan dan produktiviti manusia. Walaupun kita semua memahami hakikat ini, kadangkala kita terlepas pandang betapa pentingnya mobiliti dalam kehidupan harian dan ekonomi kita.
“Saya ingin memulakan dengan satu mesej ringkas: sudah tiba masanya kita mengalihkan tumpuan perbincangan mengenai perancangan bandar kepada manusia, bukan sekadar kenderaan.
“Sejak sekian lama, perbincangan mengenai mobiliti terlalu tertumpu kepada kenderaan persendirian, kapasiti jalan raya dan kesesakan lalu lintas," katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan Simposium Mobiliti Selangor bersempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, tumpuan perlu beralih kepada usaha mempertingkat kecekapan pergerakan pengguna, khususnya di Selangor, dengan menambah baik keseluruhan pengalaman perjalanan merangkumi pelbagai mod pengangkutan, termasuk bas dan tren, kemudahan berjalan kaki ke stesen serta menunggu bas di perhentian.
“Malaysia telah melabur secara besar-besaran dalam infrastruktur rel, daripada Transit Aliran Ringan (LRT) hingga Transit Aliran Massa (MRT). Namun, bagi kebanyakan pengguna, perjalanan harian masih mengecewakan.
“Usaha untuk sampai ke stesen, bertukar antara mod pengangkutan, mencari laluan pejalan kaki yang selamat atau menunggu perkhidmatan bas yang boleh dipercayai masih menjadi cabaran berterusan.
“Justeru, persoalannya bukan sekadar bagaimana kita menggerakkan kenderaan dengan lebih cekap, tetapi bagaimana memastikan keseluruhan perjalanan benar-benar memenuhi keperluan pengguna, khususnya pengangkutan awam,” katanya.
Beliau turut mengakui usaha mewujudkan sistem mobiliti bersepadu bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan kesabaran, penyelarasan dan kerjasama berterusan antara semua pihak berkepentingan.

Visi mobiliti bersepadu
Bagi menangani cabaran itu, Sze Han berkata Selangor perlu menghubungkan pelbagai mod pengangkutan termasuk bas, rel dan perkhidmatan atas permintaan bagi memastikan perjalanan pengguna lebih lancar dari lokasi permulaan hingga ke destinasi masing-masing.
“Ketika ini, penumpang yang merancang perjalanan menggunakan bas, rel dan perkhidmatan atas permintaan masih perlu menggabungkan maklumat daripada beberapa sumber yang masing-masing hanya merangkumi sebahagian daripada rangkaian pengangkutan.
“Tiada satu sumber yang menyediakan maklumat lengkap mengenai cara untuk bergerak dari depan pintu rumah hingga ke destinasi menggunakan semua perkhidmatan pengangkutan berkenaan.
“Apa yang perlu dilakukan Selangor untuk menangani perkara ini dari sudut pandang pengguna merupakan persoalan yang ingin saya cari jawapannya bersama-sama. Kita tidak boleh mencapai mobiliti bersepadu sekiranya perancangan, data, maklumat dan pelaksanaan masih berasingan,” katanya.
Sze Han berkata simposium itu penting kerana menghimpunkan pakar dan organisasi pengangkutan awam antarabangsa untuk berkongsi pandangan mengenai usaha Selangor menambah baik rangkaian pengangkutannya serta menerima pakai penyelesaian yang bersesuaian dengan keperluan negeri, bukannya sekadar meniru pendekatan bandar lain.

Antara penceramah yang menyertai simposium itu ialah wakil Institut Dasar Pengangkutan dan Pembangunan (ITDP) Indonesia, Arup Hong Kong, TransJakarta dan Persatuan Pengangkutan Awam Antarabangsa (UITP).










