EXCO: Perubahan subsidi petrol perlu ambil kira kos sara hidup

16 Okt 2026, 1:36 AM
EXCO: Perubahan subsidi petrol perlu ambil kira kos sara hidup
EXCO: Perubahan subsidi petrol perlu ambil kira kos sara hidup
EXCO: Perubahan subsidi petrol perlu ambil kira kos sara hidup

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Petrol bersubsidi menjadikan penggunaan kenderaan persendirian lebih menarik berbanding pengangkutan awam, namun sebarang perubahan dasar seperti pemansuhan subsidi perlu mengambil kira kos sara hidup dan implikasi terhadap ekonomi secara keseluruhan.

EXCO Mobiliti Ng Sze Han berkata kenderaan persendirian sering digunakan golongan berpendapatan rendah, khususnya mereka yang tinggal di kawasan tanpa akses perkhidmatan pengangkutan awam yang baik.

Menurutnya, pendekatan seimbang diperlukan kerana usaha mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian juga perlu mengambil kira keperluan pengangkutan harian dan sumber pendapatan rakyat di negara ini.

“Ini bukan permainan jumlah sifar, iaitu kita boleh memansuhkan sesuatu dan melaksanakan perkara lain, kemudian mencapai apa yang kita anggap sebagai sesuatu yang baik,” katanya.

EXCO Mobiliti Ng Sze Han ketika sesi dialog terbuka pada Simposium Mobiliti Selangor di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 15 Oktober 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika sesi dialog terbuka pada Simposium Mobiliti Selangor yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam.

Mengenai isu berasingan, Sze Han berkata pembangunan kawasan perbandaran yang berselerak dan meluas di Selangor menjadikan kesalinghubungan perjalanan awal dan akhir satu cabaran.

Beliau turut menekankan keperluan menambah baik infrastruktur pejalan kaki serta menyediakan pilihan mobiliti alternatif bagi menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam.

Katanya, Selangor berdepan cabaran mobiliti yang berbeza berbanding bandar seperti Singapura dan Taipei yang mempunyai corak pembangunan bandar lebih kondusif terhadap kesalinghubungan pengangkutan awam.

“Kesalinghubungan perjalanan awal dan akhir bukanlah perkara baharu bagi kebanyakan kita, tetapi itulah juga cabaran terbesar yang kita hadapi berikutan corak pembangunan kawasan perbandaran kita,” katanya.

EXCO Mobiliti, Ng Sze Han bersama Ahli Majlis MBSJ Zon 14, Kamarul Hafiz Kamarudin meninjau keadaan laluan pejalan kaki di sekitar LRT Puchong Prima, Subang Jaya pada 13 Oktober 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Sze Han berkata berjalan kaki dan penggunaan pengangkutan mikromobiliti merupakan antara pilihan yang dapat membantu pengguna mengakses perkhidmatan pengangkutan awam.

Bagaimanapun, katanya, penyelesaian yang dilaksanakan perlu mengambil kira keadaan tempatan di Malaysia, termasuk faktor iklim.

Beliau menambah bahawa penambahbaikan laluan pejalan kaki merupakan antara kaedah paling murah dan pantas untuk memperkukuh kesalinghubungan perjalanan awal dan akhir.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga sudah mula menjalankan audit laluan pejalan kaki bagi mengenal pasti kawasan yang mempunyai masalah.

“Terdapat pelbagai mod pengangkutan yang boleh dipertimbangkan untuk kesalinghubungan perjalanan awal, tetapi sekali lagi, kita perlu melihat konteks tempatan, contohnya budaya dan iklim di Malaysia, khususnya berkaitan laluan pejalan kaki,” katanya.

Mengenai perancangan Kerajaan Negeri untuk menyelaraskan kerja pembaikan laluan pejalan kaki merentasi kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berbeza, termasuk antara Selangor dan Kuala Lumpur, Sze Han bersetuju bahawa isu kesalinghubungan perlu ditangani secara bersama.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.