MetMalaysia: Awan ribut aktif cetus puting beliung di Damansara

14 Okt 2026, 7:46 AM
MetMalaysia: Awan ribut aktif cetus puting beliung di Damansara

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Kejadian puting beliung atau belalai darat di Damansara, Selangor berpunca daripada kehadiran awan ribut (kumulonimbus) yang aktif pada petang semalam, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip.

Beliau berkata puting beliung adalah turus putaran udara yang kencang, terhasil daripada kehadiran angin ricih dan arus angin menaik semasa proses pembentukan awan ribut.

Mohd Hisham berkata puting beliung yang berlaku di Malaysia hanya pada skala agak kecil, iaitu bersaiz kurang daripada 10 meter dan berlaku dalam masa yang amat singkat.

“Ini menyebabkan pembentukannya sukar untuk dikesan oleh radar dan satelit cuaca, namun MetMalaysia telah mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan daerah di Selangor pada 5.30 petang 13 Okt,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Hisham berkata kejadian puting beliung di darat atau belalai darat dan di laut (belalai laut) banyak berlaku ketika fasa peralihan monsun iaitu pada Mac hingga Mei serta September hingga Oktober.

Beliau berkata fenomena itu berlaku akibat keadaan atmosfera tidak stabil dan lembap serta kehadiran angin yang bertiup lemah dari pelbagai arah.

Semalam, pengguna media sosial berkongsi beberapa video memaparkan kejadian puting beliung ketika kenderaan sedang berhenti di sebuah plaza tol dengan tiupan angin kencang menyebabkan sebuah kenderaan kelihatan terangkat.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.