SHAH ALAM, 14 OKT: Kementerian Pendidikan (KPM) merekodkan 4,289 kes salah laku buli di sekolah termasuk asrama dari Mac hingga Ogos lalu.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata daripada jumlah itu, buli fizikal sebanyak 2,480 kes, buli lisan (1,386 kes), buli bukan lisan (243 kes) dan buli siber (180 kes).
“KPM memandang serius setiap kejadian buli yang membabitkan murid, sama ada di sekolah mahupun di asrama.
“Sehubungan itu, KPM terus memperkukuh pendekatan menangani buli secara menyeluruh, meliputi aspek penguatkuasaan, pengawasan persekitaran sekolah dan asrama, perlindungan mangsa, intervensi psikososial serta pembentukan karakter murid,” katanya.
Beliau menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Muhammad Fawwaz bertanya berkaitan jumlah kes buli di sekolah dan asrama sejak Akta Antibuli 2026 berkuat kuasa serta penambahbaikan pemantauan asrama susulan pendedahan dalam inkues kematian Zara Qairina.
Mengulas lanjut, Fadhlina memaklumkan angka yang direkodkan menunjukkan usaha menangani buli perlu dilaksanakan secara berterusan dan tidak terhad kepada tindakan disiplin semata-mata.
“Setiap aduan perlu diberikan perhatian sewajarnya, disiasat mengikut tatacara yang ditetapkan dan diikuti dengan tindakan serta intervensi yang bersesuaian.
“Bagi memperkukuh keselamatan dan pemantauan di asrama, KPM sudah melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan,” katanya.
Dari aspek pemantauan fizikal, Fadhlina memaklumkan KPM memasang kamera litar tertutup (CCTV) di 200 sekolah berasrama pada 2025 dengan peruntukan RM3 juta.
“Pada tahun ini, inisiatif ini diteruskan melalui pemasangan CCTV di 333 sekolah berasrama dengan peruntukan RM5 juta.
“Bagi Fasa 3 pada 2027, sebanyak RM15 juta diperuntukkan untuk memperluas pemasangan CCTV kepada 1,000 sekolah di seluruh negara,” katanya.
Fadhlina turut menegaskan pemantauan keselamatan tidak boleh bergantung kepada kemudahan fizikal semata-mata.
Sebaliknya, pengawasan warga sekolah, kepekaan terhadap perubahan tingkah laku murid dan tindakan segera terhadap aduan turut menjadi komponen penting bagi memastikan persekitaran asrama yang selamat.







