SHAH ALAM, 14 OKT: Pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran mempertimbangkan semakan rekod pesalah seksual ketika memproses permohonan lesen premis perniagaan, khususnya melibatkan taman asuhan kanak-kanak (TASKA) bagi memperkukuh perlindungan golongan itu.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata, pangkalan data pesalah seksual di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) boleh dimanfaatkan untuk membuat semakan silang terhadap pemohon lesen perniagaan.
Menurutnya, langkah itu dapat membantu pihak berkaitan mengenal pasti individu yang mempunyai sejarah kesalahan berkenaan, sekali gus mengurangkan risiko mereka mendapat akses kepada kanak-kanak.
"Pangkalan data pesalah seksual KPWKM ini boleh diguna pakai untuk kita semak silang.
"Sekiranya mereka memohon lesen untuk perniagaan, premis PBT boleh semak," katanya ketika ditemu bual dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor bertajuk Pemangsa di Sebalik Skrin, baru-baru ini.

Beliau turut mengingatkan pengusaha TASKA supaya lebih teliti dalam menyaring individu yang berpotensi berurusan dengan kanak-kanak di premis jagaan mereka.
Anfaal menegaskan saringan ketat penting sebagai langkah pencegahan awal berbanding hanya mengambil tindakan undang-undang selepas sesuatu kejadian berlaku.
"Saringan yang ketat ini adalah satu bentuk pencegahan yang lebih selamat berbanding sekiranya perkara telah terjadi, baru kita gunakan tindakan undang-undang untuk mendakwa," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan menyediakan sokongan pemulihan kepada mangsa penderaan atau eksploitasi seksual yang mengalami trauma berpanjangan.
Menurutnya, terapi dan khidmat kaunseling daripada pegawai bertauliah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) antara bantuan yang boleh diberikan kepada mangsa.

Beliau berpandangan rawatan yang sewajarnya penting bagi membantu kanak-kanak mengatasi trauma dan meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
Ketika persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) pada 4 Ogos lalu, Anfaal mendedahkan sebanyak 3,747 kes jenayah seksual membabitkan kanak-kanak direkodkan di negeri ini sepanjang 2021 hingga 2025.
Daripada jumlah itu, kes rogol mencatatkan angka tertinggi iaitu 1,845 kes, diikuti amang seksual fizikal sebanyak 1,654 kes.
Kes amang seksual fizikal turut meningkat sebanyak 70 peratus sejak 2021, manakala peningkatan jumlah laporan juga dikaitkan dengan kesedaran masyarakat yang semakin tinggi untuk tampil membuat aduan.









