SHAH ALAM, 10 OKT: Seramai 10 usahawan tempatan dirai selepas dipilih menerima Anugerah Usahawan Berpotensi Petaling Jaya 2026.
Penerima anugerah berkenaan turut bakal menyertai lawatan sambil belajar ke Guangzhou, China pada Disember ini sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian, inovasi serta potensi mereka dalam mengembang perniagaan.
Pengiktirafan tersebut menjadi kemuncak penganjuran Hari Usahawan Petaling Jaya 2026 anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang berlangsung di Centre Court, The Curve, Mutiara Damansara, pada 10 Oktober lalu.
Majlis perasmian disempurnakan oleh EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, YB Tuan Mohd Najwan Halimi.
Turut hadir Ahli Dewan Negeri Kota Damansara, YB Tuan Muhammad Izuan Ahmad Kasim dan Datuk Bandar Petaling Jaya, YBhg. Dato’ Mohd Yazid Sairi.
Dato' Mohd Yazid berkata, penganjuran anugerah itu sebahagian daripada usaha berterusan PBT berkenaan dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan tempatan, khususnya meningkatkan keupayaan perusahaan mikro untuk berkembang secara mampan dan berdaya saing.
"Selaras dengan tema Bajet MBPJ Tahun 2027 iaitu 'Sejahtera Petaling Jaya', pembangunan ekonomi tempatan terus menjadi antara keutamaan dalam meningkatkan kesejahteraan warga bandar raya.
"Usaha ini turut menyokong hala tuju Rancangan Selangor Kedua (RS-2) bagi tempoh 2026 hingga 2030. Dari tahun 2022 hingga 2026, seramai 9,964 usahawan telah menerima manfaat melalui pelbagai program latihan, bimbingan dan peluang perniagaan," katanya.
Sambutan terhadap program pembangunan usahawan MBPJ terus menunjukkan trend positif apabila merekodkan 2,631 penyertaan pada tahun 2026 berbanding 1,230 penyertaan pada tahun 2022.
Menurut MBPJ, sebanyak 28 sesi latihan dilaksanakan sepanjang tahun ini merangkumi tiga tahap pembangunan dengan penekanan kepada asas perniagaan, pengurusan kewangan, strategi pemasaran digital, penjenamaan produk dan peluasan pasaran.
Dalam perkembangan berkaitan, MBPJ mengumumkan bakal memperkenalkan Program Skill2Biz pada tahun 2027 yang menyasarkan penyertaan 50 bakal usahawan baharu, khususnya golongan belia dalam bidang kemahiran barista dan gunting rambut (barber).
Selain itu, kerjasama strategik MBPJ bersama MBI Selangor dan The Curve bakal membuka ruang kepada usahawan mikro Selangor memulakan perniagaan di pusat beli-belah berkenaan bermula tahun 2027 menerusi penyediaan tiga unit push cart yang ditaja MBI Selangor. Peluang ini juga terbuka kepada usahawan daripada PBT lain di seluruh Selangor.
Penganjuran sambutan Hari Usahawan Petaling Jaya 2026 turut memuatkan 20 reruai jualan, kaunter perkhidmatan MBPJ "Jom Bayar Lesen 2027", sesi podcast keusahawanan, persembahan kebudayaan, cabutan bertuah serta kelas terbuka TikTok Affiliate secara percuma menerusi inisiatif "Jom Transformasi Kerjaya Anda" dengan kerjasama PLATS.








