SHAH ALAM, 13 OKT: Peningkatan peruntukan infrastruktur dan penyelenggaraan kampung baru Cina kepada RM100 juta oleh Kerajaan Persekutuan membuka peluang kepada 77 kampung baru di Selangor untuk menikmati pembangunan lebih baik melalui gabungan dana persekutuan dan negeri.
EXCO Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kampung Baru, Dato’ Ng Suee Lim menyambut baik pengumuman itu yang disifatkan membawa manfaat besar kepada masyarakat Cina, khususnya penduduk kampung baru yang memerlukan penambahbaikan kemudahan asas.
Menurutnya, banyak kampung baru di Selangor sebelum ini menerima manfaat daripada peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi melaksanakan pelbagai projek menaik taraf infrastruktur melalui permohonan ketua kampung atau penyelaras masing-masing.
“Pada masa lalu, banyak kampung baru di Selangor pernah memohon peruntukan ini untuk melaksanakan pelbagai projek naik taraf penting, termasuk menambah baik jalan raya, dewan komuniti, pasar dan infrastruktur asas lain, sekali gus menjaga masyarakat Cina dan memperjuangkan kebajikan penduduk kampung baru,” katanya sambil menjelaskan permohonan kepada Bahagian Pembangunan Kampung Baru dibuat berdasarkan keperluan sebenar, skop pembangunan dan keadaan infrastruktur di setiap kampung.

Beliau berkata pendekatan dua hala yang menggabungkan peruntukan kerajaan Persekutuan dengan dana Kerajaan Negeri mampu memperkukuh pembangunan kampung baru, malah beliau percaya jumlah keseluruhan peruntukan yang diperoleh Selangor berpotensi menjadi lebih besar.
“Ini juga membuktikan bahawa Selangor dan kerajaan Persekutuan ditadbir oleh gabungan politik yang sama, bukan sahaja membolehkan kampung baru memanfaatkan peruntukan kerajaan negeri Selangor, malah boleh memohon dana daripada KPKT, secara dua hala dan menggabungkan kekuatan, bagi memperjuangkan pembangunan yang lebih baik untuk kampung baru,” katanya.
Tambah beliau, ketua kampung dan penyelaras semakin mahir dengan prosedur permohonan selain mempunyai hubungan erat dengan Bahagian Pembangunan Kampung Baru, sekali gus membolehkan urusan mendapatkan peruntukan dilaksanakan dengan lebih lancar.
Mengulas kemungkinan Selangor meningkatkan peruntukan kampung baru dalam Belanjawan 2027, Suee Lim memaklumkan permohonan sudah dikemukakan kepada Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari, namun sebarang keputusan masih tertakluk kepada kedudukan kewangan negeri dan pertimbangan pelbagai aspek.
Pada 9 Oktober lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 mengumumkan peningkatan peruntukan infrastruktur dan penyelenggaraan kampung baru Cina kepada RM100 juta, selain RM80 juta bagi penyelenggaraan rumah ibadat bukan Islam berdaftar.








