Skim Smart Sewa bantu bina kemampuan kewangan sebelum miliki rumah

10 Jul 2026, 1:30 PM
Skim Smart Sewa bantu bina kemampuan kewangan sebelum miliki rumah
Skim Smart Sewa bantu bina kemampuan kewangan sebelum miliki rumah

SHAH ALAM, 10 JULAI: Kerajaan Negeri menyediakan sebanyak 2,451 unit kediaman menerusi Skim Smart Sewa sehingga kini bagi membantu rakyat membina kemampuan kewangan sebelum memiliki rumah sendiri.

EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata skim tersebut antara inisiatif Kerajaan Negeri untuk memberi peluang kepada penyewa beralih kepada pemilikan kediaman.

“Skim Smart Sewa menawarkan pulangan semula sebanyak 30 peratus daripada jumlah sewa bersih yang dibayar sebagai simpanan atau deposit pembelian rumah.

“Pendekatan ini memberi peluang kepada rakyat beralih daripada penyewa kepada pemilik kediaman secara lebih mampan,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Naib Ketua Pemuda PAS Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai, bahawa Kerajaan Negeri gagal menangani isu perumahan.

Dalam pada itu, Borhan memaklumkan Kerajaan Negeri akan terus komited memperkukuh agenda perumahan rakyat menerusi dasar yang inklusif, mampan dan berorientasikan keperluan sebenar rakyat.

“Fokus pentadbiran negeri bukan sekadar membina lebih banyak rumah, tetapi memastikan lebih ramai rakyat Selangor berpeluang memiliki kediaman yang selesa, berkualiti dan mampu dimiliki, selaras dengan aspirasi “Satu Keluarga, Satu Kediaman Yang Selesa”,” katanya lagi.

Skim Smart Sewa merupakan antara inisiatif strategik Kerajaan Negeri dalam memperkukuh agenda perumahan mampu milik untuk rakyat Selangor.

Menerusi skim ini, penyewa diberikan tempoh minimum dua tahun, dengan pulangan semula sebanyak 30 peratus daripada jumlah sewaan bersih apabila mereka menamatkan tempoh penyewaan. Tempoh maksimum pula ialah lima tahun.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.