Moratorium Smart Sewa, Projek Selangor Penyayang perkukuh kesejahteraan rakyat

20 Jun 2026, 12:00 AM
Moratorium Smart Sewa, Projek Selangor Penyayang perkukuh kesejahteraan rakyat
Moratorium Smart Sewa, Projek Selangor Penyayang perkukuh kesejahteraan rakyat
Moratorium Smart Sewa, Projek Selangor Penyayang perkukuh kesejahteraan rakyat

SHAH ALAM, 20 JUN: Tawaran moratorium kepada penyewa Skim Smart Sewa dan penjawat awam negeri serta pelaksanaan Projek Selangor Penyayang (PSP) diyakini mampu memperkukuh kesejahteraan rakyat dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa.

EXCO Perumahan, Datuk Borhan Aman Shah berkata inisiatif yang diumumkan menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 itu dapat membantu meringankan beban rakyat yang masih berdepan kesan ketidaktentuan geopolitik global.

EXCO Perumahan & Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah bercakap kepada media ketika Pembentangan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor fasa 2 dalam Sidang Khas Dewan Undangan Negeri Selangor di Shah Alam pada 19 Jun 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Meskipun perjanjian damai telah dimeterai antara Iran dan Amerika Syarikat (AS), keadaan ekonomi dan pasaran global dijangka mengambil masa antara tiga hingga enam bulan untuk kembali stabil. 

“Dalam tempoh ini, rakyat masih berdepan pelbagai cabaran ekonomi. Justeru, moratorium yang ditawarkan kepada penyewa Skim Smart Sewa dan penjawat awam Selangor dapat memberi sedikit kelegaan serta membantu mengurangkan tekanan kewangan yang mereka hadapi,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pembentangan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di sini, semalam.

Dalam pada itu, Borhan berkata peruntukan RM14 juta bagi PSP pula akan memberi manfaat kepada penduduk pangsapuri, khususnya bangunan berusia lebih 15 tahun yang memerlukan kerja penyelenggaraan dan naik taraf.

Katanya, projek berkenaan akan dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) di bawah Skim CERIA berdasarkan permohonan yang diterima daripada komuniti setempat.

“Usaha ini bukan sahaja mencantikkan persekitaran kediaman malah memberi keselesaan dan kelegaan kepada penduduk rumah pangsa yang memerlukan kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf.

“Tumpuan akan diberikan kepada kawasan yang masih belum menerima manfaat PSP atau Skim CERIA sebelum ini, sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar termasuk Ampang, Petaling Jaya dan Subang Jaya,” katanya.

Keadaan gelanggang futsal Kampung Lindungan, Petaling Jaya selepas dinaik taraf bawah projek Selangor Penyayang dan dibuka untuk kegunaan orang ramai pada 1 Julai 2023. Foto Facebook PPAS PJS6 Kampung Lindungan

Semalam, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Moratorium Smart Sewa Selangor selama tiga bulan bermula Oktober hingga Disember ini yang melibatkan 1,012 penyewa dengan kadar sewa antara RM450 hingga RM1,300 sebulan.

Selain itu, Moratorium Pinjaman Perumahan Kerajaan Negeri melibatkan peruntukan RM2.54 juta akan memberi manfaat kepada 2,333 penjawat awam negeri menerusi penangguhan bayaran balik pinjaman perumahan bagi tempoh yang sama.

Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM14 juta bagi pelaksanaan PSP yang memberi tumpuan kepada kerja naik taraf fasiliti taman awam serta pengecatan pangsapuri berusia lebih 15 tahun bagi meningkatkan keselesaan dan kualiti persekitaran kediaman rakyat.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.