BANTING, 6 NOV: Pantai Morib bakal berwajah baharu serta muncul sebagai destinasi pelancongan popular Lembah Klang apabila projek pemuliharaan pantai berkenaan bernilai RM47 juta siap sepenuhnya pada 1 Julai 2026.
Projek bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuala Langat itu kini mencapai kemajuan 85 peratus, iaitu dua peratus lebih awal daripada jadual asal yang bermula pada 1 September 2023, kata Jurutera Daerahnya, Ir Mohd Hasrulhisham Abdullah.
Beliau berkata, projek berkenaan bakal mengembalikan semula suasana pantai berpasir yang menjadi daya tarikan utama kawasan peranginan itu suatu ketika dahulu.
“Maknanya akan ada pantai berpasir di Pantai Morib. Sebelum ini tidak ada pantai pasir di situ.
"Melalui projek ini, kita buat tembok dan di depan tembok itu ada pasir. Kita kembalikan semula pantai berpasir di Pantai Morib,” katanya ketika melakukan tinjauan di kawasan itu bersama Media Selangor, baru-baru ini.
Terdahulu, Media Selangor menerima aduan penduduk mengenai isu hakisan di Pantai Morib 2 yang didakwa berpunca daripada pembinaan benteng pemecah ombak, iaitu salah satu komponen Projek Pemuliharaan Pantai Morib yang terletak kira-kira satu kilometer dari kawasan itu.

Bagaimanapun, tinjauan mendapati projek berkenaan bukan punca hakisan seperti yang didakwa. Sebaliknya, kerja-kerja pembinaan sedang giat dijalankan walaupun berdepan cabaran menyelaras jadual kerja dengan keadaan air pasang dan surut.
Menurut Ir Mohd Hasrulhisham, projek tersebut turut merangkumi beberapa komponen utama termasuk pembinaan tembok laut, struktur pemecah ombak, laluan siar kaki berbentuk huruf ‘M’ (Morib), rumah api serta kerja penambakan semula pantai berpasir (beach nourishment).
“Apabila siap nanti, pengunjung boleh bermain di tepi pantai berbanding dahulu hanya menikmati pemandangan dari jauh,” jelasnya.
Sementara itu, Jurutera Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Ir Khairul Darini optimis projek tersebut bakal menjadikan kawasan itu tumpuan baharu pelancong, sekali gus merancakkan ekonomi setempat.
“Kita yakin Pantai Morib akan muncul sebagai lokasi baharu pelancongan, sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat sekitar,” katanya.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib, Mohd Safiee Harun turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri dan agensi pelaksana atas usaha menaik taraf kawasan berkenaan.
“Terima kasih kepada kerajaan, JPS dan MPKL kerana projek ini dapat mengindahkan lagi Pantai Morib.
"Pantai ini dekat dengan Lembah Klang, insya-Allah penduduk sekitar akan datang beriadah ke sini,” katanya.







