MB: Tujuh projek PETRA siap, bantu kurangkan risiko banjir di Selangor

21 Jul 2026, 5:32 AM
MB: Tujuh projek PETRA siap, bantu kurangkan risiko banjir di Selangor
MB: Tujuh projek PETRA siap, bantu kurangkan risiko banjir di Selangor
MB: Tujuh projek PETRA siap, bantu kurangkan risiko banjir di Selangor
MB: Tujuh projek PETRA siap, bantu kurangkan risiko banjir di Selangor

SHAH ALAM, 21 JULAI: Sebanyak tujuh projek pembangunan di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bernilai RM83 juta telah siap dilaksanakan sepenuhnya bagi mengurangkan risiko banjir dan hakisan di beberapa kawasan di Selangor.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata, projek yang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor itu merangkumi kerja menaik taraf sungai serta pengukuhan benteng di beberapa lokasi.

"Tujuh projek yang telah dilancarkan sejak 2023 hingga 2024 telah siap dan ada yang lebih awal dari dijadualkan bagi mengelak kesan-kesan banjir di beberapa lokaliti antaranya di pesisir pantai di Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Morib.

"Di Kuala Selangor dan Sabak Bernam menunjukkan hasil yang baik. Contohnya di Kuala Selangor, sebelum projek disiapkan merekodkan tujuh insiden banjir tetapi selepas projek siap, hanya satu insiden sahaja.

"Kita dapat lihat ada kesan penguraian air yang baik dan mampu mengurangkan risiko terutama ketika air pasang besar. Ini termasuk dua projek di Sungai Penchala dan Sungai Kemensah, ia membantu mengindahkan serta saliran lebih lancar," katanya.

Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari melawat dan melihat papan pameran projek siap ketika Majlis Penyerahan Projek Siap Jabatan Pengairan dan Saliran kepada Kerajaan Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam pada 21 Julai 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Projek Pembangunan di bawah PETRA di Foyer Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan beberapa lagi projek sedang diteliti termasuk Sungai Langat Fasa 2 bagi mengurangkan risiko limpahan air di kawasan terlibat.

"Ada beberapa lagi senarai sedang diteliti contohnya Sungai Langat Fasa 2 yang nilainya RM1 bilion, kita memerlukan masa panjang untuk siap.

"Pakej di Sungai Buloh sedang tunggu untuk siap dan ini akan bantu mengurangkan kesan limpahan air di sungai-sungai utama ke lokaliti seperti di Ijok, Bukit Hijau dan Bukit Kuching," ujarnya.

Antara projek yang telah siap ialah kerja pengukuhan tebing Sungai Penchala bernilai RM4.29 juta, naik taraf Sungai Kemensah (RM9.4 juta), projek kawalan dan pengukuhan benteng di Pantai Sungai Haji Dorani (RM2.62 juta) serta projek kawalan dan pengukuhan benteng Pantai Batu 23 (RM1.79 juta).

Turut siap ialah projek kawalan hakisan di Kuala Selangor bernilai RM4.83 juta dan projek pemuliharaan Pantai Morib berjumlah RM60.5 juta.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.