SHAH ALAM, 10 OKT: Tujuh daerah di Selangor dijangka dilanda ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga jam 6 petang ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan kawasan terlibat ialah Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak, Kuala Selangor, Klang, Petaling dan Hulu Langat.
Menurut amaran cuaca yang dikeluarkan, keadaan sama turut dijangka berlaku di Kuala Lumpur serta beberapa negeri lain termasuk seluruh Perlis, Terengganu, Negeri Sembilan dan Melaka.
Di Kedah, kawasan terlibat ialah Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap, Sik dan Baling, manakala di Pulau Pinang meliputi Timor Laut dan Barat Daya.
Amaran turut membabitkan lapan daerah di Perak iaitu Larut Matang, Kerian, Selama, Manjung, Bagan Datuk, Perak Tengah, Hilir Perak dan Hulu Perak.
Sementara itu, kawasan lain yang dijangka mengalami cuaca buruk ialah Kuala Krai dan Jeli di Kelantan, Rompin dan Jerantut di Pahang serta Kulai dan Johor Bahru di Johor.
Di Sarawak, amaran dikeluarkan bagi Lubok Antu di Sri Aman, manakala di Sabah melibatkan beberapa kawasan di Tawau, Sandakan, Pantai Barat dan Kudat.
MetMalaysia menjelaskan amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda hujan lebat dengan intensiti melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi sejam.
Amaran berkenaan bersifat jangka pendek dengan tempoh sah tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.
Orang ramai dinasihatkan berwaspada terhadap perubahan cuaca serta mengikuti perkembangan amaran terkini melalui saluran rasmi MetMalaysia.






