Jerebu: Sekolah di empat negeri, KL, Putrajaya dan Rompin ditutup esok

8 Okt 2026, 2:44 PM
Jerebu: Sekolah di empat negeri, KL, Putrajaya dan Rompin ditutup esok

SHAH ALAM, 8 OKT: Semua sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya ditutup esok susulan keadaan jerebu yang melanda negara.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata penutupan pada Jumaat, 9 Oktober itu turut melibatkan sekolah di daerah Rompin, Pahang, manakala sekolah di negeri lain beroperasi mengikut takwim persekolahan.

Menurutnya, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira keadaan jerebu semasa bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid serta warga sekolah terpelihara.

“Sekolah ditutup di seluruh Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, manakala di Pahang hanya daerah Rompin terlibat,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Fadhlina berkata sekolah di Perlis, Perak, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Labuan pula beroperasi seperti biasa.

Beliau turut mengarahkan semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) terus memantau keadaan jerebu serta mengambil tindakan segera sekiranya perlu.

Dalam pada itu, Fadhlina mengakui keputusan penutupan sekolah memberi kesan kepada urusan harian ibu bapa, khususnya dalam membuat persediaan penjagaan anak.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan sebarang keputusan penutupan sekolah pada masa depan akan dimaklumkan lebih awal bagi memberi ruang mencukupi kepada ibu bapa membuat persediaan.

“Saya juga memahami bahawa sebarang keputusan penutupan sekolah memberi kesan kepada urusan harian ibu bapa.

“Pada masa akan datang, kita akan memastikan sebarang keputusan penutupan sekolah dimaklumkan lebih awal supaya ibu bapa mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persediaan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa mengikuti makluman rasmi pihak sekolah, PPD dan JPN masing-masing bagi mendapatkan perkembangan terkini.

“Keselamatan dan kesihatan anak-anak serta warga sekolah sentiasa menjadi keutamaan kita,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.