
HULU LANGAT, 10 OKT: Dari aduan rakyat hingga kes kecemasan, Kajang Smart City Command Centre (KS2C) memusatkan pelbagai sumber dan pihak berkaitan sekali gus mempercepat tindakan susulan.
Sebelum ini, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bergantung kepada sistem aduan manual dan dipanjangkan kepada Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) untuk menyelesaikan masalah orang ramai.
Ketua KS2C, Gs Nursilawati Abd Rahim memberitahu pusat kawalan itu menyepadu pelbagai saluran termasuk panggilan telefon, butang kecemasan dan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).
Beliau menjelaskan KS2C mekanisme pengurusan aduan menyeluruh, dari pengesanan dan pengesahan, penyaluran maklumat, tindakan di lapangan serta pemantauan hingga kes selesai.
Katanya, sebaik menerima aduan atau permintaan bantuan, KS2C akan mengenal pasti lokasi dan situasi sebenar serta menyalur rakaman kamera litar tertutup (CCTV) masa nyata kepada pasukan di lapangan.
Menurutnya, maklumat itu membantu anggota mendapat gambaran awal sebelum tiba di tempat kejadian dan memberi maklum balas masa nyata sepanjang proses tindakan.
“(Maklumat tersebut) membolehkan pusat kawalan membuat penyelarasan, penghantaran bantuan tambahan atau tindakan susulan mengikut keadaan semasa.
“Berbanding sebelum ini yang lebih bergantung kepada penerimaan aduan manual sebelum PANTAS menghantar anggota untuk ambil tindakan," katanya.
Nursilawati menjelaskan butang kecemasan berfungsi untuk melapor kes jenayah atau kecederaan seterusnya pusat kawalan segera menghubungi hospital untuk penghantaran ambulans.

“Bagi kejadian seperti tanah runtuh atau banjir pula, pemantauan secara masa nyata boleh dilakukan menerusi CCTV yang dipasang di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi panas.
“Selagi kejadian bawah bidang kuasa MPKj termasuk pokok tumbang dan kerosakan infrastruktur, KS2C akan ambil tindakan susulan dan memastikan perkara tersebut diberi perhatian.
“Sekiranya pihak polis memerlukan rakaman CCTV, pusat kawalan juga akan sedaya upaya memberi kerjasama termasuk pada waktu malam,” katanya.
Menurutnya, KS2C menjadi pusat pengumpulan dan penyampaian maklumat termasuk data kejadian, rakaman dan keadaan di lokasi sebelum disalur kepada agensi dan unit teknikal berkaitan.
Memberi contoh, Nursilawati berkata, apabila pusat kawalan mengesan perbuatan pembuangan sampah haram, KS2C akan menyalur maklumat kepada jabatan tertentu untuk tindakan lanjut.
“Setiap laporan atau aduan yang diterima pada hari sama akan segera diambil tindakan susulan. Kami tidak menganggap sesuatu perkara boleh ditangguh hanya kerana ia bukan kes kecemasan.
“Kami mahu memastikan rakyat mendapat maklum balas dengan pantas,” katanya sambil menyatakan KS2C akan menghubungi pengadu bagi memaklumkan perkembangan terkini dan hasil tindakan.
Beliau menjelaskan KS2C pada masa ini hanya ada enam petugas sepanjang waktu operasi antara jam 8 pagi hingga 5 petang ekoran kekangan tenaga kerja.
Katanya, petugas menggunakan telefon pintar agar komunikasi tidak terputus ketika membuat pemantauan di luar waktu operasi supaya setiap kejadian dapat dinilai untuk tindakan segera.
Nursilawati menambah MPKj mahu memperluas pemasangan CCTV meliputi lebih 100 lokasi pada tahun depan dan menjalankan sistem penugasan petugas rasmi selama 24 jam sehari.
Beliau percaya KS2C menjadikan perkhidmatan lebih cekap kepada rakyat selain memastikan segala kejadian dipantau setiap masa supaya bantuan disalur segera apabila berlaku kecemasan.
“Kami bekerjasama rapat dengan rakan strategik seperti polis, pejabat tanah (dan galian) serta Kementerian Kesihatan bagi memastikan bantuan dapat disalur segera kepada penduduk,” katanya.
Naik taraf CCTV dilengkapi AI
Sebahagian 63 CCTV termasuk 30 lagi yang akan dipasang tahun ini bakal dinaik taraf supaya kemudahan itu dilengkapi fungsi kecerdasan buatan (AI).
CCTV tersebut akan memiliki fungsi analitik video berasaskan AI bagi memperkukuh keupayaan pemantauan bandar dan respons terhadap kecemasan.
Nursilawati berkata CCTV sedia ada ditempatkan di beberapa lokasi tumpuan berdasarkan konsep bandar pintar termasuk jalan utama dan kawasan sepanjang sungai.
“Kami akan terima 30 lagi CCTV. Sebanyak 15 akan dipasang di lokasi pembuangan sampah haram dalam kawasan pentadbiran MPKj manakala 15 lagi dipasang di kawasan banjir. Semua 30 CCTV baharu ini sudah dilengkapi teknologi AI,” katanya.
Beliau menjelaskan 63 CCTV sedia ada lebih berfungsi sebagai kemudahan pemantauan selain penghantaran imej dan komunikasi tetapi belum ada keupayaan analisis secara automatik.
“Rakaman yang diterima masih perlu diperhatikan dan direkod secara manual,” katanya.

Menjelaskan MPKj pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Selangor menggunakan CCTV berasaskan AI, Nursilawati berkata, 60 daripada 63 CCTV akan dinaik taraf dengan fungsi AI akhir tahun ini.
“Ini bermakna pada masa akan datang, sebanyak 93 CCTV berasaskan AI akan ditempatkan dalam kawasan pentadbiran MPKj.
“CCTV berasaskan AI mampu menjalankan analisis imej secara automatik, sekali gus mengurangkan beban pemantauan secara manual dan membantu MPKj mengambil tindakan lebih pantas," katanya.
Nursilawati juga menjelaskan KS2C dilengkapi pelbagai sistem, platform dan infrastruktur bandar pintar bagi membuat pemantauan bandar serta mengurus operasi harian.
Dalam isu pembuangan sampah haram, beliau berkata mana-mana kenderaan yang terlibat boleh dikesan, dianalisis dan direkod secara automatik melalui KS2C untuk penguatkuasaan.
Bagi kawasan berisiko banjir pula, beliau berkata sistem AI boleh digunakan untuk memantau paras air sungai dan mengeluarkan amaran jika berlaku peningkatan luar biasa.
Katanya, ia membantu MPKj mengaktif pelan kecemasan dan mengatur pasukan lebih awal, sekali gus beralih dari pendekatan bantu selepas kejadian kepada kaedah mencegah dan bersedia lebih awal.







