
KUALA LUMPUR, 2 OKT: Pelan peremajaan pekan lama Rawang perlu dibuat secara menyeluruh berasaskan sejarah, kepentingan masyarakat dan identiti setempat menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Menurut timbalan pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), AI boleh menganalisis maklumat termasuk struktur kawasan dan lokasi sensitif sebelum perubahan fizikal dibuat.
TPr Dr Muhammad Hakimi Mohd Hussain berkata AI membantu proses membuat keputusan termasuk mengurus bandar dan menyokong rantaian kerja perancangan, dari mengenal pasti isu hingga menguji senario pembangunan.

Menurutnya, ia membantu Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memahami ciri-ciri dan keunikan lokasi secara menyeluruh dan membuat perancangan tepat serta sesuai dengan konteks setempat.
“Kalau kita ada dokumen apa pun, kita boleh beri kepada AI untuk dia belajar. Dia boleh faham tentang sejarah, tahu sensitiviti dan kawasan mana yang boleh dinaik taraf.
“Jangan hanya hendak bagi cantik atau moden kerana ia boleh mengganggu bandar lama yang ada sejarah tersendiri. Sebaliknya, kita boleh manfaatkan sejarah dan keunikan itu untuk ditonjolkan lagi,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau yang juga ketua pusat kecerdasan buatan dalam perancangan bandar PLANMalaysia itu berkata AI boleh membina simulasi dan visual cadangan pembangunan sebelum projek dimulakan.
Katanya, ia membantu memahami kesan terhadap kawasan dan penduduk lebih awal manakala orang ramai berpeluang mengetahui cadangan pembangunan secara visual dan memberi reaksi mereka.
“Kalau kita gunakan AI untuk satu sistem jalan, mungkin boleh kurangkan masalah trafik. Untuk hapus masalah secara total mungkin sukar tetapi untuk mengurangkannya, tidak ada masalah.
“AI boleh cadangkan jalan mana yang patut kita beri keutamaan kerana ia berkeupayaan untuk menganalisis apa akan jadi kalau kita buat sesuatu. Dari situ, penglibatan masyarakat menjadi lebih dekat kerana mereka boleh visualkan cadangan tersebut.”

TPr Dr Muhammad Hakimi juga mengingatkan perancangan perlu dibuat berhati-hati untuk lokasi bersejarah seperti pekan lama Rawang supaya usaha pemodenan tidak menjejaskan identiti asal.
“Kita boleh manfaatkan sejarah dan keunikan itu untuk ditonjolkan lagi su-paya bandar yang berusia ini dapat diremajakan dan diterima terutama oleh generasi sekarang,” katanya.
Menurutnya, pelaksanaan AI tidak harus dibuat berasingan, sebaliknya ia perlu bermula dengan mengenal pasti punca masalah terlebih dahulu sebelum penyelesaian dirangka secara menyeluruh.
Beliau berkata kebanyakan bandar ada asas digital seperti sensor, portal, pangkalan data dan kamera litar tertutup (CCTV) tetapi kebanyakan data tersebut beroperasi secara berasingan.
“AI boleh menjadi satu tingkat kapabiliti lapisan keupayaan yang menghubungkan data dan membantu kita daripada mengenal pasti masalah, menganalisis pola, membuat unjuran, menguji senario sehingga menyokong keputusan,” katanya.
Katanya, keupayaan AI menganalisis data dalam skala besar membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) memperoleh gambaran lebih menyeluruh sebelum keputusan pembangunan dibuat.
Beliau memberitahu teknologi tersebut juga membantu pelbagai senario diuji terlebih dahulu bagi menilai kemungkinan kesan sesuatu cadangan terhadap kawasan dan masyarakat.







