
KUALA LUMPUR, 2 OKT: Faktor kecerdasan manusia (HI) tetap kekal penting bagi memastikan setiap pembangunan yang menggunakan kepintaran kecerdasan buatan (AI) memenuhi keperluan penduduk.
Menurut Timbalan Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) TPr Dr Muhammad Hakimi Mohd Hussain berkata AI tidak boleh menggantikan pertimbangan manusia kerana keputusan pembangunan bukan semata-mata bersifat teknikal.

“Dalam perancangan bandar, keputusan bukan semata-mata teknikal kerana ia melibatkan kepentingan awam, nilai tanah, komuniti, warisan, alam sekitar dan pertimbangan profesional.
“Sebab itu AI perlu dilengkap dan dipandu oleh kecerdasan manusia kerana teknologi itu pada asasnya memberi analisis, pilihan dan senario berdasarkan data yang diberi.
“Manusia bertanggungjawab menentukan keputusan paling sesuai berdasarkan konteks setempat. AI hanya beri senario bagaimana hendak buat tetapi manusia juga yang buat keputusan,” katanya.
Menurut TPr Dr Muhammad Hakimi, manusia juga perlu menentukan model penggunaan AI kerana keberkesanannya bergantung kepada kualiti maklumat untuk membentuk model perancangan bandar.
Katanya, corak sesebuah bandar berbeza mengikut lokasi, budaya, keadaan fizikal dan keperluan masyarakat, justeru AI perlu dilatih menggunakan data yang mencerminkan konteks setempat.
Presiden Pertubuhan Perancang Malaysia, TPr Mazrina Abdul Khalid pula menegaskan data dan maklum balas masyarakat perlu dijadikan asas dalam menentukan hala tuju pembangunan.

“Ia perlu mengambil kira pandangan penduduk dan peniaga setempat, bukan hanya bergantung kepada data daripada sensor, CCTV dan sistem digital.
“AI boleh bantu kumpul, susun dan analisis data serta maklum balas masyarakat dalam skala besar tetapi kita perlu pastikan pandangan penduduk dan peniaga menjadi sebahagian perancangan,” katanya.
Menurutnya, keputusan perancangan bandar tidak boleh dibuat berdasarkan aspek teknikal sahaja kerana ia melibatkan kepentingan awam, masyarakat, warisan, alam sekitar dan pertimbangan profesional.
“AI memberi analisis dan pilihan tetapi manusia yang menentukan apa sesuai, adil dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Pakar berkenaan diminta mengulas tentang pelan peremajaan Pekan Lama Rawang yang dijadualkan bermula tahun depan secara berperingkat selepas kajian dan reka bentuk pembangunan siap.
Aspek yang diberi tumpuan antaranya penyusunan semula aliran trafik, pengindahan bangunan lama, penyediaan taman rekreasi serta penambahbaikan landskap.









