Jerebu: Semua sekolah agama JAIS ditutup mulai esok hingga dimaklumkan semula

8 Okt 2026, 2:58 PM
Jerebu: Semua sekolah agama JAIS ditutup mulai esok hingga dimaklumkan semula

SHAH ALAM, 8 OKT: Semua sekolah agama negeri di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diarahkan tutup sepenuhnya mulai esok susulan keadaan jerebu yang melanda Selangor.

Pengarah JAIS Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata penutupan berkuat kuasa Jumaat, 9 Oktober itu akan diteruskan sehingga dimaklumkan semula oleh jabatan berkenaan.

Menurutnya, sekolah Islam persendirian yang berdaftar dengan JAIS turut disaran mengikuti ketetapan sama bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid terpelihara.

“Semua sekolah di bawah kawalan JAIS ditutup mengikut tempoh yang ditetapkan.

“Guru hendaklah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) turut diarahkan bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh penutupan, tertakluk kepada arahan serta keperluan semasa.

Dalam pada itu, pihak sekolah diminta terus memantau keadaan jerebu dan mengutamakan keselamatan, kesihatan serta kebajikan murid dan warga pendidikan.

Mohd Shahzihan turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa mengikuti makluman rasmi JAIS, khususnya berkaitan tarikh pembukaan semula sekolah.

Katanya, ibu bapa tidak seharusnya membuat sebarang andaian mengenai tarikh sekolah dibuka semula, sebaliknya hanya merujuk kepada pengumuman rasmi jabatan berkenaan.

“Ibu bapa dan penjaga juga disarankan menasihati anak-anak supaya mematuhi arahan pihak sekolah, menjaga keselamatan diri dan tidak terlibat dengan perkara yang tidak sepatutnya sepanjang tempoh penutupan sekolah,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) turut mengumumkan penutupan semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di seluruh negeri mulai 9 Oktober sehingga dimaklumkan semula.

Pengarah Pendidikan Selangor Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim berkata semua sekolah terlibat perlu melaksanakan PdPR, manakala guru dan AKP dibenarkan bekerja dari rumah sepanjang tempoh penutupan, tertakluk kepada arahan semasa.

Penutupan itu turut menyusuli titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menzahirkan keprihatinan terhadap keadaan jerebu serta mengutamakan keselamatan dan kesihatan murid.

Susulan titah berkenaan, KPM mengumumkan langkah penutupan institusi pendidikan di kawasan terjejas bagi mengurangkan risiko pendedahan murid dan warga sekolah kepada pencemaran udara.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.