Jerebu: Semua sekolah di Selangor ditutup mulai esok hingga diberitahu kelak

8 Okt 2026, 1:29 PM
Jerebu: Semua sekolah di Selangor ditutup mulai esok hingga diberitahu kelak

SHAH ALAM, 8 OKT: Semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Selangor diarahkan tutup sepenuhnya mulai esok susulan keadaan jerebu yang melanda negeri ini.

Pengarah Pendidikan Selangor, Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim berkata penutupan berkuat kuasa 9 Oktober itu akan diteruskan sehingga dimaklumkan semula oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.

Menurutnya, arahan berkenaan selaras dengan kenyataan media KPM bertarikh 8 Oktober yang mengutamakan keselamatan dan kesihatan murid serta warga pendidikan.

"Semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah JPN Selangor ditutup mengikut tempoh yang ditetapkan.

"Sekolah hendaklah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid," katanya dalam makluman hari ini.

Beliau berkata guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) turut diarahkan bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh penutupan, tertakluk kepada arahan serta keperluan semasa.

Sehubungan itu, ibu bapa dan penjaga diminta mengikuti perkembangan rasmi JPN Selangor, khususnya mengenai tarikh pembukaan semula sekolah.

Katanya, orang ramai tidak seharusnya membuat andaian mengenai tarikh sekolah dibuka semula, sebaliknya hanya merujuk kepada pengumuman rasmi JPN Selangor atau KPM.

Dalam pada itu, semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) diarahkan memastikan makluman penutupan disampaikan kepada sekolah, guru, kakitangan, ibu bapa dan murid di daerah masing-masing.

Pihak sekolah juga perlu terus memantau keadaan semasa dan mengutamakan keselamatan, kesihatan serta kebajikan seluruh warga pendidikan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.