SHAH ALAM, 9 SEPT: Kerajaan Negeri akan melaksanakan tinjauan bebas seawal tahun depan bagi menilai tahap kepuasan rakyat terhadap prestasi dan mutu perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.
EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim berkata persiapan sedang dilakukan untuk melantik badan bebas bagi menjalankan tinjauan melibatkan pengguna, pembayar cukai dan rakyat.
"Kita dalam persiapan untuk melantik badan tinjauan bagi mengenal pasti tahap kepuasan pengguna, pembayar cukai dan rakyat terhadap sistem penyampaian, prestasi serta perkhidmatan PBT.
"Ini sebagai satu indikator untuk kita bekerja lebih kuat. Apa juga keputusan daripada tinjauan itu akan kita teliti bagi memperkasa perkhidmatan dan memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti," katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Suee Lim berkata kaedah penilaian akan mengambil kira perbezaan kategori dan skop pentadbiran setiap PBT supaya tahap kepuasan rakyat dapat diukur dengan lebih tepat.
Menurutnya, badan yang dilantik akan menentukan mekanisme tinjauan termasuk penyediaan soalan, pemilihan sampel serta indikator bersesuaian mengikut kategori PBT.
"Indikator bagi setiap peringkat PBT berbeza, termasuk bagi perbandaran dan bandar raya. Pihak yang diamanahkan menjalankan tinjauan ini mempunyai mekanisme untuk menentukan soalan dan sampel kajian.
"Kita sedang dalam persiapan dan akan melaksanakannya dalam masa terdekat. Mungkin awal tahun depan kita sudah boleh melakukan tinjauan," ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata Kerajaan Negeri turut bersedia menubuhkan pasukan petugas bagi membantu PBT yang tidak mencapai indikator ditetapkan untuk memperbaiki prestasi masing-masing.

"Kita akan buat pasukan petugas untuk memastikan PBT yang didapati tidak mencapai indikator ditetapkan memperbaiki kelemahan supaya mereka boleh mengejar dan tidak ketinggalan.
"Di Selangor, persaingan dalaman antara PBT sangat kuat dan masing-masing bekerja untuk mencapai penarafan lima bintang. Masing-masing mempunyai kekuatan dan bersaing secara sihat," katanya.
Suee Lim menjelaskan usaha memperkasa PBT turut memberi tumpuan kepada kecekapan sistem penyampaian, pendigitalan perkhidmatan, pengurangan birokrasi serta urusan yang lebih pantas dan mesra pengguna.
"Pada masa sama, kita mahu PBT memastikan aspek pemeliharaan alam sekitar, pengurusan kebersihan dan sisa pepejal semakin mampan serta kelestarian bandar terus terjaga.
"Kemudahan sejagat termasuk untuk golongan orang kurang upaya (OKU) juga perlu diberi perhatian supaya pembangunan yang dilaksanakan dapat dinikmati semua lapisan masyarakat," katanya.
Beliau berkata penambahbaikan berterusan penting bagi memastikan PBT di Selangor bukan sahaja memberikan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat, malah mampu bergerak ke arah standard bandar pintar bertaraf antarabangsa.








