SHAH ALAM, 9 OKT: Bantuan sarapan percuma akan diperluas kepada 993,000 pelajar di seluruh negeri melalui penganjuran Mega Nutrisi Selangor (Nutrisel) antara 16 Oktober hingga 5 November.
Menurut setiausaha akhbar Dato’ Menteri Besar, maklum balas warga sekolah dan ibu bapa mendorong program secara sekali beri itu dibuat supaya pelajar menikmati hidangan seimbang.
Jay Jay Denis berkata tempoh pelaksanaan program itu sesuai dengan musim peperiksaan, malah pakar pemakanan terlibat dalam perbincangan bagi memastikan penyediaan hidangan seimbang.
jay

"Hasrat utama Kerajaan Negeri adalah membantu orang yang memerlukan bantuan. Sebab itu hampir sejuta pelajar, kita memilih hampir 104,640 pelajar yang (keluarganya) berpendapatan rendah.
"Tetapi kita juga sedar apabila program ini dilaksanakan pada peringkat awal terutama pelajar, kita tidak mahu membawa budaya perbezaan antara pelajar hanya kerana pendapatan dan latar belakang keluarga," katanya kepada Media Selangor.
Pada 5 Oktober, Dato’ Menteri Besar berkata program tersebut akan diperluas ke sekolah di seluruh negeri bagi memastikan lebih ramai pelajar berpeluang menikmati makanan berkhasiat.
Dato’ Seri Amirudin Shari memberitahu pihaknya sedang meneliti keperluan peruntukan dan kos bagi memastikan NutriSel diteruskan selain menambah makanan tahan lama seperti susu dan roti.
Di samping pelaksanaan Mega NutriSel, beliau menjelaskan, program NutriSel dua kali seminggu pada Isnin dan Khamis juga diteruskan sehingga awal November melibatkan 104,640 pelajar daripada keluarga berpendapatan bawah RM2,000 sebulan.
"Asas yang mendorong kita memperkenal Mega NutriSel adalah semangat solidariti kepada semua pelajar," katanya lagi.
Mengulas mengenai sama ada NutriSel dimasukkan dalam belanjawan tahun depan, beliau berkata perkara itu akan diperhalusi, sesuai kemampanan pelaksanaan program pada masa ini.

"Kita nampak sepanjang program ini adalah harapan yang besar dalam kalangan pelajar termasuk ibu bapa dan guru supaya program ini bukan untuk jangka pendek tetapi untuk jangka panjang.
"Tetapi hasrat negeri buat program ini daripada Pakej Pengukuhan Daya Tahan untuk atasi kemungkinan kenaikan harga barang terutama makanan asas disebabkan perang di Asia Barat.
"Apabila ada isu bekalan bahan mentah pada Mei dan Jun, kita anggarkan harga barang naik pada Ogos dan September. Sebab itu kita lewatkan tarikh pelaksanaan program, bukan Mei tetapi Ogos," katanya.
Pakej terdiri fasa satu dan dua itu diperkenal bagi menyerap tekanan ekonomi sekali gus membantu rakyat dan sektor perniagaan terjejas di negeri ini.








