SHAH ALAM, 27 JULAI: Penyertaan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dalam Pusat Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) wajar diperluaskan supaya lebih ramai dapat menikmati bantuan pembelajaran secara percuma.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru Mariam Abdul Rashid berkata inisiatif Kerajaan Negeri yang dilaksanakan sejak lebih sedekad lalu terbukti membantu meningkatkan pencapaian akademik pelajar.
"Inisiatif kerajaan ini sangat baik dan sangat berkesan. Kita melihat ada peningkatan dari segi pembelajaran di beberapa sekolah hasil pelaksanaan Pusat Tuisyen Rakyat Selangor," katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata jumlah pelajar yang menerima manfaat daripada program itu juga perlu ditambah, khususnya dalam kalangan keluarga B40 yang tidak mampu mengikuti kelas tuisyen swasta.
"Saya cadangkan supaya jumlah pelajar ditambah lagi, terutama melibatkan pelajar-pelajar B40 yang tidak mempunyai peluang mendapatkan tuisyen daripada pusat-pusat tuisyen swasta di luar," ujarnya.
Menurutnya, usaha memperluaskan akses kepada pendidikan berkualiti penting bagi memastikan setiap pelajar mempunyai peluang yang sama untuk mencapai keputusan cemerlang tanpa dibatasi faktor kewangan.
"Kesinambungan program seperti PTRS akan membantu melahirkan lebih ramai pelajar berpotensi yang mampu menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi serta menyumbang kepada pembangunan negeri pada masa depan," katanya.
Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI sebelum ini menerima surat penghargaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor selama tiga tahun berturut-turut ekoran sumbangan PTRS dalam pencapaian SPM negeri.
Menurut Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor PTRS membantu meningkatkan prestasi calon SPM berikutan purata GPN semakin positif dari tahun ke tahun.







