SHAH ALAM, 7 OGOS: Seramai 106,000 pelajar menerima Bantuan Sarapan Percuma Sekolah menerusi program Nutrisi Selangor (Nutrisel) setakat ini, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, jumlah itu merupakan tambahan kepada 55,000 pelajar yang menerima manfaat melalui program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Baru-baru ini telah berlangsung program sarapan percuma yang pentadbiran negeri namakan NutriSel dan sambutannya sangat baik. Kita telah membantu sekitar 106,000 pelajar menikmati sarapan pagi atau makan tengah hari.
“Maklum balas yang sangat positif ini memberikan motivasi kepada kita untuk memperluas program ini pada masa depan dan mungkin menjadi sebahagian daripada inisiatif memperkasa pendidikan anak-anak di samping meringankan beban pelajar di sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Batu Tiga Danial Al-Rashid Haron yang ingin mengetahui tahap pelaksanaan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan inisiatif subsidi tambang pengangkutan awam turut menerima sambutan positif apabila seramai 6,280 penerima menikmati bantuan tersebut membabitkan peruntukan sejumlah RM186,330 setakat ini.
Beliau berkata, meskipun jumlah penerima masih rendah berbanding sasaran 50,000 orang penerima, Kerajaan Negeri sedang meneliti langkah memperluaskan pelaksanaan program itu dengan melibatkan lebih banyak pengendali pengangkutan awam.
“Kita sedang berbincang dengan pengendali pengangkutan awam supaya inisiatif ini bukan sahaja melibatkan perkhidmatan Respons Permintaan Transit (DRT), malah diperluaskan kepada pengangkutan lain termasuk Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
“Walaupun jumlahnya masih kecil berbanding sasaran yang ditetapkan, kita percaya penyertaannya boleh dipertingkatkan. Insya-allah saya percaya menjelang akhir tahun ini semakin ramai akan memperoleh inisiatif ini berbanding dengan 6,000 lebih setakat ini mengikut jumlah yang telah kita sasarkan,” ujarnya lagi.
Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM355.06 juta menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 dan Fasa 2 bagi mendepani kesan krisis bekalan susulan konflik di Asia Barat.
Daripada jumlah itu, RM145.8 juta diperuntukkan bagi Fasa 1 yang sedang dilaksanakan menerusi tujuh inisiatif, manakala RM209.26 juta lagi disalurkan untuk Fasa 2 yang merangkumi 15 inisiatif baharu.







