SHAH ALAM, 8 DIS: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menjalin kerjasama strategik dengan syarikat penerbangan Batik Air bagi melatih pelajar daripada golongan B40 menjadi jurutera profesional dalam industri penerbangan.
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata seramai 50 pelajar MRSM lepasan SPM 2025 akan dipilih berdasarkan keputusan percubaan SPM untuk menyertai program latihan profesional dalam bidang Computer Aided Aircraft Design (CAAD), Program Lesen Aircraft Maintenance, serta Avionics, khususnya dalam sektor Maintenance, Repair & Overhaul (MRO) yang penting kepada operasi syarikat penerbangan.
"Batik Air bersedia melatih mereka dengan kerjasama MARA dan mengambil mereka terus bekerja dengan gaji minima RM3,500.
"Jika mereka lulus Sijil profesional kejuruteraan CAAD yang diiktiraf antarabangsa selama 4 tahun pengajian, mereka juga boleh mendapat gaji antara RM15,000 hingga RM20,000," katanya.
Menurut beliau, program rintis ini akan diperluas sekiranya pelajar pertama menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan.
"MARA akan meluaskan lagi program ini melalui institusi TVET MARA yang saya dimaklumkan oleh Datuk Chandran, mempunyai permintaan yang amat tinggi dalam industri penerbangan dan Aviation bukan hanya dalam negara bahkan di peringkat antarabangsa.
"Saya yakin hanya dengan ilmu dan kemahiran tinggi sahaja boleh merubah nasib anak-anak bangsa yang datang dari latar keluarga berpendapatan rendah dan miskin.
"MARA komited untuk membantu anak-anak B40 dan miskin bagi merubah kehidupan mereka," katanya lagi dalam kenyataan itu.


