h:
s:
SHAH ALAM, 26 JULAI: Bantuan Sarapan Percuma Sekolah menerusi Program Nutrisi Selangor dalam Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor menyasarkan seramai 106,000 pelajar daripada 962 sekolah di negeri ini bermula 3 Ogos hingga 3 Disember.
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor menerusi Facebook memaklumkan menerusi peruntukan keseluruhan RM14.4 juta, ia akan memanfaatkan pelajar daripada isi rumah B40 berpendapatan di bawah RM2,000.
“Pemberian makanan dua kali seminggu yang disediakan menerusi kantin sekolah itu bagi memastikan pelajar mendapat pemakanan yang seimbang sebelum memulakan sesi pembelajaran,” katanya di Facebook.
Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor, diperkenalkan sebagai tindak balas Kerajaan Negeri terhadap krisis tenaga dan bekalan global yang tercetus susulan konflik di Asia Barat.
Menerusi pakej tersebut, Kerajaan Negeri melaksanakan beberapa langkah intervensi bagi membantu rakyat dan sektor perniagaan menghadapi cabaran kenaikan kos yang berpunca daripada gangguan rantaian bekalan serta ketidaktentuan pasaran tenaga dunia.







