KAJANG, 8 OKT: Selepas terpaksa menghentikan tempahan katering akibat kekurangan peralatan, seorang peniaga nasi lemak kini berpeluang mengembangkan semula perniagaannya menerusi bantuan Inisiatif Pembangunan Usahawan India Selangor (I-SEED).
V. Sumathira yang mengusahakan perniagaan nasi lemak di Kajang sejak dua tahun lalu berkata kekangan peralatan sebelum ini mengehadkan keupayaannya menerima tempahan dalam kuantiti besar.
Bagaimanapun, bantuan sebuah periuk nasi elektrik dan mesin pengisar cili yang diterima hari ini memberi peluang kepadanya meningkatkan pengeluaran sekali gus kembali menawarkan perkhidmatan katering.
“Peralatan yang diterima ini dapat mengurangkan beban kerja dan membolehkan saya menyediakan nasi lemak serta makanan dalam kuantiti lebih banyak.
“Sebelum ini, saya terpaksa menghentikan tempahan katering kerana kekurangan peralatan. Dengan adanya peralatan baharu ini, saya bercadang untuk kembali menerima tempahan katering,” katanya kepada Media Selangor selepas menerima bantuan berkenaan.
Sumathira berharap kemudahan baharu itu dapat melancarkan operasi harian sekali gus membantu meningkatkan pendapatan perniagaannya.
Beliau turut menyifatkan proses permohonan I-SEED mudah dan tidak membebankan kerana hanya memerlukan dokumen asas, selain mendapat bimbingan Ketua Komuniti India (KKI) sepanjang urusan berkenaan.
“Saya berharap lebih ramai usahawan kecil, khususnya masyarakat India, merebut peluang memanfaatkan inisiatif seperti I-SEED untuk mengembangkan perniagaan.
“Sebagai usahawan, kita tidak seharusnya mudah berputus asa. Sebaliknya, manfaatkan setiap peluang dan bantuan yang disediakan untuk terus memajukan perniagaan,” katanya.









