Banjir kilat: ADN mahu akar umbi dilibatkan awal dalam projek pembangunan

9 Okt 2026, 2:00 AM
Banjir kilat: ADN mahu akar umbi dilibatkan awal dalam projek pembangunan
Banjir kilat: ADN mahu akar umbi dilibatkan awal dalam projek pembangunan

SHAH ALAM, 9 OKT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang mencadangkan penglibatan pihak akar umbi diperluas sebelum sesuatu projek pembangunan dilaksanakan bagi mengelakkan isu setempat timbul selepas projek bermula.

Abbas Azmi berkata, penglibatan ADN, Ahli Majlis dan Ketua Kampung di peringkat awal penting bagi memastikan aspek keselamatan serta keadaan persekitaran penduduk setempat diberi perhatian.

“Bila pelaksanaan (projek) tak dilibatkan ADN, Ahli Majlis ataupun Ketua Kampung sebelum pelaksanaan, susah untuk pastikan pembangunan itu berjalan lancar tanpa ada masalah dikemudian hari,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Beliau berkata demikian susulan aduan berhubung kejadian banjir kilat dan aliran air berlumpur yang menjejaskan kawasan berhampiran Kampung Batu 14, Puchong selepas hujan lebat, baru-baru ini.

Menurutnya, kawasan berkenaan sebelum ini sudah lama tidak mengalami masalah banjir, namun hujan lebat baru-baru ini menyebabkan air bertakung dan aliran air berlumpur di beberapa longkang berhampiran kawasan perumahan, selain kawasan sekolah turut terjejas.

Abbas Azmi (lima, kiri) bersama wakil MBSJ, Ketua Kampung dan penduduk meninjau kerja-kerja pembinaan di Saujana Puchong pada 7 Oktober 2026 susulan aduan yang diterima. Foto Facebook Abbas Azmi

Abbas berkata, pihak pemaju turut mengakui aliran air berlumpur berkenaan berpunca daripada bahagian tapak pembangunan projek tersebut dan bersetuju mengambil tanggungjawab terhadap kejadian itu.

“Pihak pemaju bersetuju ambil tanggungjawab dalam tugas-tugas pembersihan kawasan yang terjejas.

“Pada masa sama, mereka turut bersetuju untuk adakan sesi townhall bersama penduduk di sekitar bagi mendengar pandangan mereka,” tambahnya.

Dalam pada itu, Abbas tidak menolak usaha pembangunan kerana ia memberi manfaat kepada kawasan sekitar, namun menegaskan penglibatan pihak akar umbi perlu dilakukan lebih awal bagi memastikan kepentingan penduduk setempat tidak terjejas.

Beliau turut menegaskan aspek keselamatan dan kesejahteraan penduduk perlu sentiasa dipelihara serta menjadi keutamaan dalam pelaksanaan sesuatu projek pembangunan.

Sebelum ini, Abbas turun padang meninjau sendiri aduan berkaitan kerja-kerja pembinaan yang sedang dilaksanakan di kawasan berkenaan.

Tinjauan tersebut turut disertai Ahli Majlis MBSJ Zon 17, Thamilarusu, wakil Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Ketua Kampung dan wakil penduduk.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.