RS-2 perlu beri tumpuan rumah ibadat, tanah perkuburan dan infrastruktur awam

11 Ogos 2026, 8:39 AM
RS-2 perlu beri tumpuan rumah ibadat, tanah perkuburan dan infrastruktur awam

SHAH ALAM, 11 OGOS: Kerajaan Negeri disaran memberi perhatian lebih menyeluruh terhadap penyediaan kemudahan infrastruktur awam termasuk rumah ibadat dan tanah perkuburan dalam pelaksanaan Rancangan Selangor Kedua (RS-2).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang, Abbas Azmi berkata keperluan tanah perkuburan perlu diberi perhatian bagi memastikan kemudahan berkenaan mencukupi seiring pertambahan penduduk dan pembangunan di Selangor.

“Perancangan pembangunan perlu memastikan kemudahan asas seperti sekolah, jalan keluar masuk, rumah ibadat dan tanah perkuburan disediakan secukupnya bagi memenuhi keperluan rakyat.

“Perkara ini penting supaya pembangunan yang dilaksanakan tidak hanya memberi tumpuan kepada aspek perumahan, sebaliknya turut menyediakan kemudahan awam yang lengkap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul RS-2 pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Dalam pada itu, Abbas turut menyorot isu perumahan strata, terutama kekurangan ruang parkir yang sering menjadi masalah kepada penduduk di kawasan berkepadatan tinggi dengan jumlah kenderaan yang semakin bertambah.

Selain itu, beliau berkata pemilihan pemaju juga perlu diberi perhatian bagi memastikan projek pembangunan dilaksanakan syarikat yang berkeupayaan serta mempunyai rekod prestasi yang baik.

Abbas menambah, terdapat projek pembangunan yang berlarutan lebih 20 tahun walaupun mempunyai Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) selain melibatkan status tanah lapang yang memerlukan penyelesaian sewajarnya.

Pada 7 Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan Kerajaan Negeri menyasarkan pembinaan 200,000 unit Rumah Selangorku mampu milik menerusi Dasar Rumah Selangorku Harapan dan Idaman khusus untuk rakyat Selangor yang belum memiliki rumah.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sasaran itu merupakan antara inisiatif Misi Ketiga: Negeri Penyayang dan Berdaya Huni dalam RS-2 bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat menerusi pemerkasaan keterjangkauan, kebolehdiaman dan kesejahteraan.

Katanya, sehingga kini, sebanyak 64,188 unit yang telah siap dibina manakala 69,014 unit lagi masih dalam pembinaan bagi memenuhi keperluan perumahan rakyat Selangor, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 133,202 unit.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.