SHAH ALAM, 8 OKT: Sistem perparitan di sepanjang Jalan Kuala Selangor-Kepong berhampiran Stesen KTM Sungai Buloh perlu dinaik taraf segera bagi mengatasi banjir berulang.
Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo turut mencadangkan pembinaan kolam takungan sementara bagi menampung aliran air dari kawasan lebih tinggi.
“Ini isu keselamatan yang perlu kita selesaikan dengan segera, kita tidak boleh menunggu satu atau dua tahun kerana kita tidak tahu bila hujan lebat akan berlaku.
“Kita tidak mahu situasi ini akan menyebabkan kerosakan atau kehilangan nyawa,” katanya seperti dilaporkan The Star.

Pada April lalu, Sungai Gasi melimpah susulan hujan lebat menyebabkan kedua-dua laluan FT54 berhampiran Stesen KTM Sungai Buloh dinaiki air hingga 0.6 meter.
Gobind berkata kapasiti sistem perparitan sedia ada tidak mencukupi menampung aliran air, selain beberapa longkang didapati rosak dan menunjukkan tanda hakisan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, Muhammad Zakwan Fikri Mohd Hasnan berkata pembinaan tembok banjir di sepanjang Sungai Gasi telah dilaksanakan dan berjaya menangani banjir berpunca daripada limpahan sungai di bahagian berkenaan.
“Bagaimanapun aliran air dari kawasan lebih tinggi masih menyebabkan banjir di sepanjang FT54,” katanya.
Gobind berkata cadangan teknikal untuk mengatasi masalah itu sudah tersedia, namun pembiayaan dan pelaksanaan masih belum diputuskan kerana melibatkan bidang kuasa JPS Selangor, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Petaling dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC).
“Mesyuarat bersama agensi berkaitan dan wakil Kementerian Pengangkutan akan diadakan minggu ini bagi menentukan langkah jangka pendek, sederhana dan panjang termasuk masa pelaksanaan, kos serta agensi bertanggungjawab.
“Diharapkan penyelesaian dapat dicapai minggu depan supaya kerja-kerja naik taraf dan pembaikan boleh dilaksanakan secepat mungkin, manakala kerja pembersihan dan langkah jangka pendek yang sedang dijalankan tidak menyelesaikan masalah asas,” katanya.







