Pemaju bakal dikompaun, diarah selesai segera isu banjir Taman Seri Kerayong

30 Sep 2026, 10:54 AM
Pemaju bakal dikompaun, diarah selesai segera isu banjir Taman Seri Kerayong
Pemaju bakal dikompaun, diarah selesai segera isu banjir Taman Seri Kerayong
Pemaju bakal dikompaun, diarah selesai segera isu banjir Taman Seri Kerayong
Pemaju bakal dikompaun, diarah selesai segera isu banjir Taman Seri Kerayong

SHAH ALAM, 30 SEPT: Pemaju pembinaan lot rumah kedai di Kapar Industrial Park bakal dikenakan kompaun susulan projek berkenaan yang mengakibatkan puluhan kediaman di Taman Seri Kerayong dinaiki air.

EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata selain kompaun pemaju perlu mengambil langkah segera dan menyediakan penyelesaian jangka panjang bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Pemaju akan dikenakan kompaun tetapi perlu ada penyelesaian segera dan jangka masa panjang. Jika peringkat awal pun sudah ada masalah, ke depan lagi banyak ada masalah… sebab itu perlu diselesaikan secara tuntas.

“Memang kena kompaun sebab kalau menyebabkan lumpur memang kena tetapi itu tidak cukup untuk menghalang pemaju yang tidak bertanggungjawab untuk menyelenggara secara berkala hingga menyebab mendapan penuh parit dan mengakibatkan banjir,” katanya.

Beliau ditemui pada pelancaran Pelan Strategik Jalan dan Lebuh Raya Selangor 2026-2035 (JALUR Selangor) di Foyer Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini hari ini yang dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Berhubung kelulusan Kebenaran Merancang (KM), Izham menjelaskan bantahan boleh dibuat sekiranya terdapat isu berhubung perkara tersebut.

“KM apabila dibuat pemaju dan dihantar jabatan teknikal akan buat ulasan…jika tebatan banjir diuruskan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), kalau sistem saliran bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pembentung bawah IWK.

“Kalau perkara ini dibenarkan mesti ada rasional, kalau tak puas hati boleh bantah. Saya akan lihat isu sebenar di sebalik kejadian dan persetujuan peletakan loji dan juga sistem saliran,” ujarnya.

Pada masa sama, Izham telah mengarahkan Datuk Bandar Klang dan jabatan kejuruteraan untuk selesaikan isu banjir dihadapi penduduk sebanyak dua kali akibat projek tersebut.

“Daripada penelitian, saya lihat tiada sistem saliran betul ketika kerja pembinaan dibuat dan menyebabkan lumpur dan mendapan. Ini masalah besar dalam pengurusan pembinaan.

“Kita tidak boleh mengambil langkah biasa sebab hujan sekejap habis dan akibatkan banjir kepada penduduk. Saya minta tindakan segera dan akan turun sendiri untuk pastikan penyelesaian isu saliran selesai,” katanya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.