Bomba redah banjir dua kilometer, selamat tujuh sekeluarga

30 Sep 2026, 1:56 PM
Bomba redah banjir dua kilometer, selamat tujuh sekeluarga
Bomba redah banjir dua kilometer, selamat tujuh sekeluarga

SHAH ALAM, 30 SEPT: Anggota bomba meredah banjir kilat sejauh dua kilometer bagi menyelamatkan tujuh sekeluarga termasuk empat kanak-kanak yang terperangkap di Taman Rashna, dekat Klang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Ashbar berkata tindakan itu terpaksa dilakukan berikutan paras air tinggi sehingga jentera bomba tidak dapat memasuki lokasi.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 7 malam sebelum sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Selatan bergegas ke lokasi.

“Komander operasi melaporkan kejadian banjir sedalam paras pinggang yang mana jentera bomba tidak dapat masuk ke lokasi kerana paras air tinggi.

“Anggota bomba perlu berjalan sejauh dua kilometer untuk ke lokasi kawasan perumahan yang terbabit banjir.

“Semua mangsa termasuk empat kanak-kanak ditemui dan dibawa ke lokasi selamat,” katanya menerusi kenyataan, lapor Berita Harian.

Ashrul Riezal berkata semua mangsa kemudian dihantar ke pondok dataran tinggi yang selamat, manakala banjir kilat menunjukkan trend menurun.

Terdahulu, beberapa kawasan sekitar Shah Alam dilanda banjir kilat susulan hujan lebat kira-kira jam 4 petang.

Berdasarkan perkongsian pengguna aplikasi Threads, banjir kilat dikesan sekitar i-City, Seksyen 7; kawasan berhampiran pintu belakang Universiti Teknologi MARA (UiTM); lampu isyarat Padang Jawa, Seksyen 16 serta persimpangan lampu isyarat Bukit Raja.

Beberapa kawasan lain turut dilaporkan dinaiki air termasuk Taman Intan dan Taman Rashna di Klang, Sungai Rasau serta Seksyen U12, manakala keadaan jalan sekitar kawasan terjejas masih sesak berikutan air belum surut sepenuhnya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.