Kerajaan Negeri teliti langkah susulan saman penduduk Taman Sri Muda

30 Sep 2026, 8:28 AM
Kerajaan Negeri teliti langkah susulan saman penduduk Taman Sri Muda

SHAH ALAM, 30 SEPT: Kerajaan Negeri akan mendapatkan maklumat terkini daripada Pegawai Undang-Undang Negeri bagi menentukan langkah seterusnya berhubung saman difailkan penduduk Taman Sri Muda.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penelitian itu termasuk menentukan sama ada proses rayuan perlu dilakukan susulan keputusan Mahkamah Tinggi semalam.

“Kita akan dapatkan maklumat daripada pihak Pegawai Undang-Undang Negeri untuk melihat proses seterusnya sama ada proses rayuan harus dilakukan atau tidak kerana ia baru keputusan di Mahkamah Tinggi.

“Masih ada ruang untuk rayuan dilakukan dan dibuat untuk memberikan justifikasi,” katanya ditemui pada pelancaran Pelan Strategik Jalan dan Lebuh Raya Selangor 2026-2035 (JALUR Selangor) di Foyer Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini hari ini.

Semalam, Mahkamah Tinggi memutuskan kerajaan bertanggungjawab terhadap banjir besar yang berlaku di Taman Sri Muda pada Disember 2021 hingga menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada penduduk.

Keputusan itu dibuat dalam saman difailkan 50 penduduk yang mendakwa pihak berkuasa cuai dan gagal melaksanakan tanggungjawab mereka dalam menangani bencana berkenaan.

Penduduk terbabit menyaman kerajaan dan sembilan pihak lain, dengan mendakwa kegagalan dalam pengurusan banjir, sistem perparitan, amaran cuaca serta tindak balas bencana menyumbang kepada kerugian yang mereka alami.

Mereka menuntut ganti rugi khas berjumlah RM3,767,148.51, selain ganti rugi am dan ganti rugi teruk.

Pada masa sama, Amirudin memaklumkan insiden banjir di Sri Muda kini semakin berkurangan dengan pelbagai inisiatif dilaksana termasuk melakukan proses kedalaman di kawasan berkaitan.

“Dalam tempoh lima tahun atau selepas 2021, Sri Muda mengalami insiden yang sangat minima dan sebahagiannya mungkin dalam kadar agak rendah walaupun ada kebisingan tertentu.

“Kita telah melakukan proses 'dredging' yang agak pantas dan tumpuan memang diberikan di kawasan tersebut. Kita dapat lihat ada peningkatan 20 peratus kapasiti Sungai Klang selepas proses 'dredging' itu.

“Situasi di Seri Muda tidaklah seburuk sebagaimana sebelum ini hatta mencecah 2021. Kita juga melengkapkan pengurusan dan penggunaan pintu air juga baik,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning S Preakas menyeru kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri supaya meneliti alasan penghakiman dan setiap dapatan mahkamah dengan terbuka.

Katanya, jika mahkamah mengenal pasti kelemahan dalam perancangan, penyelenggaraan, amaran awal atau penyelarasan antara agensi, kelemahan itu mesti dibetulkan dengan tindakan yang jelas dan segera.

“Bagi penduduk Kota Kemuning, khususnya di Sri Muda dan kawasan lain yang pernah dilanda banjir, persoalan paling penting ialah sama ada mereka akan lebih selamat ketika hujan lebat.

“Kedua-dua (negeri, persekutuan) perlu menyatakan langkah pembetulan, agensi yang bertanggungjawab dan tempoh

pelaksanaannya supaya penduduk dapat melihat kemajuan sebenar,” katanya menerusi kenyataan.

Tambahnya, beliau menghormati proses perundangan, namun tanggungjawab melindungi rakyat tidak perlu menunggu semua proses itu selesai dan pengalaman mangsa dan dapatan mahkamah mesti menjadi asas untuk memperbaiki kawalan banjir serta mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan harta benda.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.