Saman banjir Taman Sri Muda: MBSA teliti tindakan susulan keputusan mahkamah

1 Okt 2026, 3:41 AM
Saman banjir Taman Sri Muda: MBSA teliti tindakan susulan keputusan mahkamah
Saman banjir Taman Sri Muda: MBSA teliti tindakan susulan keputusan mahkamah

SHAH ALAM, 1 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan meneliti tindakan selanjutnya susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati kerajaan bertanggungjawab terhadap kejadian banjir besar di Taman Sri Muda pada Disember 2021.

Pengarah Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Mohd Fauzi Maamor berkata pihaknya menghormati keputusan mahkamah dan akan meneliti perkara berkenaan bagi menentukan tindakan seterusnya.

“MBSA menghormati keputusan mahkamah dan akan meneliti perkara ini untuk menentukan tindakan-tindakan selanjutnya termasuklah merayu terhadap keputusan tersebut, tertakluk kepada peruntukan undang-undang serta prosedur yang ditetapkan,” katanya dalam jawapan ringkas kepada Media Selangor.

Beliau diminta mengulas mengenai kesan keputusan mahkamah itu, perancangan MBSA untuk memperkukuh langkah mitigasi banjir serta sama ada pihak berkuasa tempatan itu akan menyemak semula prosedur dan tanggungjawab penyelenggaraan sistem perparitan.

Pada Selasa, seramai 50 penduduk Taman Sri Muda menang saman terhadap kerajaan berhubung kecuaian serta kegagalan melaksanakan tanggungjawab berkaitan kejadian banjir besar pada 2021, yang mengorbankan 12 nyawa dan menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada penduduk.

Penduduk berkenaan menyaman kerajaan dan sembilan pihak lain atas dakwaan kegagalan dalam aspek pengurusan banjir, sistem perparitan, amaran cuaca serta tindak balas bencana, selain menuntut ganti rugi khas berjumlah RM3,767,148.51 serta ganti rugi am dan teruk.

Pihak yang dinamakan sebagai responden ialah Kerajaan Malaysia, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta Menteri Alam Sekitar dan Air.

Penghakiman itu turut mendapati Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor serta MBSA bertanggungjawab bersama kerajaan Persekutuan, dengan mahkamah menyatakan MBSA tidak boleh mengelakkan tanggungjawab statutori dengan alasan kolam takungan dan infrastruktur utama berada di bawah bidang kuasa JPS.

Semalam, Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri akan mendapatkan pandangan Penasihat Undang-Undang Selangor, Mohamad Onn Abd Aziz, bagi menentukan tindakan selanjutnya termasuk kemungkinan memfailkan rayuan.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.