SHAH ALAM, 8 OKT: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menyita 11 peralatan dan barangan perniagaan dalam operasi penguatkuasaan di Pulau Indah, selepas mendapati tujuh premis dan dua tapak penjaja dikendalikan warga asing tanpa lesen.
MBDK memaklumkan operasi menerusi Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasa MBDK itu dijalankan di Jalan Perigi Nenas 8/5, Fasa 1, Pulau Indah pada 3 Oktober lalu.
"Hasil pemeriksaan mendapati tujuh premis dan dua penjaja dikendalikan warga asing yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen.
"Pemeriksaan turut menemukan beberapa kesalahan berkaitan halangan, penjualan ayam hidup, arak dan aktiviti nombor ramalan," katanya dalam kenyataan di Facebook.
Dalam operasi berasingan di Jalan Rantau Panjang 3/KU4, Klang Utara, MBDK turut memeriksa dua premis pusat siber.
"Pemeriksaan di dua premis pusat siber tersebut mendapati kedua-duanya beroperasi tanpa dapat mengemukakan lesen yang sah.
"Tindakan membuka akses premis telah dilaksanakan bagi tujuan pemeriksaan dan dua borang inventori diserahkan kepada wakil syarikat untuk tindakan sitaan," katanya.
MBDK berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi memastikan semua aktiviti perniagaan mematuhi peraturan, syarat pelesenan dan undang-undang yang ditetapkan.







