SHAH ALAM, 22 SEPT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menutup sebuah pusat siber di Taman Equine, Seri Kembangan selepas premis itu didapati beroperasi tanpa lesen perniagaan sah.
MBSJ memaklumkan tindakan diambil menerusi operasi pemeriksaan dan serbuan pada 11 September lalu selepas premis berkenaan didapati menjalankan aktiviti perniagaan tanpa mematuhi syarat pelesenan ditetapkan.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan turut melibatkan penyitaan peralatan dan barangan berkaitan aktiviti perniagaan di premis berkenaan.
“Notis penutupan turut dikeluarkan dan berkuat kuasa serta-merta.

“Operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat menerusi pemantauan dan tindakan bersepadu di kawasan komersial bagi memastikan setiap aktiviti perniagaan mematuhi syarat pelesenan serta peruntukan undang-undang ditetapkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, MBSJ menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat atau membuat aduan berkaitan aktiviti perniagaan yang disyaki melanggar peraturan bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
Aduan boleh disalurkan melalui Saluran Aduan MBSJ atau menghubungi Pusat Kawalan Subang Jaya di talian 03-8024 7700.







