SHAH ALAM, 20 SEPT: Sembilan daripada 14 premis yang diperiksa Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Jalan Pos Baru, Klang didapati beroperasi tanpa lesen sah.
MBDK memaklumkan hanya lima premis mempunyai lesen ketika pemeriksaan dijalankan menerusi operasi penguatkuasaan bersama Jabatan Pelesenan terhadap peniaga warga asing dan premis tanpa lesen, semalam.
Menurutnya, hasil operasi berkenaan, sebanyak 12 inventori tindakan sitaan dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Dua Notis Niat Batal dikeluarkan atas kesalahan melibatkan pekerja warga asing tanpa permit serta membenarkan warga asing menjaga premis.
“Dua kompaun lagi dikeluarkan atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen dan menimbulkan halangan di tempat awam,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut MBDK, pemeriksaan turut mendapati aktiviti penjualan ayam hidup dan hiburan karaoke dijalankan tanpa lesen sah.
Katanya, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan secara berkala bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan.
“Peniaga diingatkan supaya mendapatkan lesen perniagaan yang sah sebelum menjalankan sebarang aktiviti bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan,” katanya.







