MBDK gempur premis tanpa lesen, pusat hiburan antara dikenakan tindakan

23 Jan 2026, 6:42 AM
MBDK gempur premis tanpa lesen, pusat hiburan antara dikenakan tindakan

KLANG, 23 JAN: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mempergiat penguatkuasaan premis perniagaan dengan menjalankan operasi bersepadu di beberapa lokasi tumpuan sekitar Klang, khususnya bagi premis yang beroperasi tanpa lesen sah.

Menurut kenyataan MBDK, operasi dijalankan melalui Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan bagi memastikan setiap aktiviti perniagaan mematuhi peraturan serta undang-undang pihak berkuasa tempatan, terutama melibatkan aktiviti hiburan dan perniagaan berisiko tinggi.

Dalam operasi di Jalan Sri Sarawak, Taman Sri Andalas, sebuah premis refleksologi dikesan beroperasi tanpa lesen sah dan dikenakan dua kompaun.

Sementara itu, pemeriksaan di Taman Bayu Perdana menemui sebuah pusat hiburan yang juga beroperasi tanpa lesen.

“Tindakan tegas diambil bagi memastikan tiada aktiviti haram berleluasa di kawasan tersebut,” menurut kenyataan MBDK menerusi Facebook.

Selain itu, pemeriksaan turut dijalankan ke atas premis berlesen di Bandar Bukit Tinggi dan Bayu Perdana, khususnya yang gagal menjelaskan bayaran lesen semasa. Dua kompaun tambahan dikeluarkan terhadap premis yang menjalankan aktiviti hiburan ‘lounge’ dan snuker tanpa lesen sah.

MBDK menegaskan, semua pengusaha premis perlu mematuhi syarat pelesenan serta memastikan setiap aktiviti perniagaan mempunyai permit sah.

“Operasi seperti ini akan terus dipergiat dari semasa ke semasa demi kesejahteraan warga Klang,” tegas kenyataan itu lagi.