SHAH ALAM, 7 OKT: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI menyumbangkan 5,000 kotak pelitup muka bagi membantu penduduk yang terjejas akibat jerebu di Selangor.
Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata sumbangan 3,000 kotak pelitup muka untuk dewasa dan 2,000 kotak untuk kanak-kanak itu diserahkan kepada Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) bagi menentukan kawasan dan golongan yang memerlukan bantuan, termasuk murid sekolah serta penduduk terjejas.

“Kita serahkan kepada UPBN untuk menentukan sendiri kawasan dan golongan yang perlu menerima bantuan, supaya ia sampai kepada golongan yang memerlukan.
“Kita juga akan buat penyelarasan (dengan UPBN) dari semasa ke semasa dan pastikan bantuan ini sampai kepada golongan sasaran,” katanya.
Ahmad Azri berkata tindakan awal perlu diambil susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang mencecah 150, menunjukkan keadaan jerebu semakin tebal dan membimbangkan.
Jelasnya, walaupun sekolah hanya ditutup apabila bacaan IPU mencapai 200, langkah awal wajar diambil bagi membantu melindungi golongan yang terjejas akibat keadaan itu.

Sementara itu, Ketua Penolong Setiausaha Unit Pengurusan Bencana, Bahagian Khidmat Pengurusan SUK, Mohd Azhar Mohd Daud merakamkan penghargaan kepada Yayasan MBI atas sumbangan pelitup muka itu.
Beliau berkata pelitup muka berkenaan akan diagihkan dalam masa terdekat mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Selangor.
“Keutamaan diberikan kepada murid sekolah rendah dan menengah. Kita akan berbincang dengan ADN di setiap kawasan (yang memerlukan) untuk tentukan agihan,” katanya.
Bacaan IPU di Selangor setakat jam 3.15 petang ini menunjukkan Johan Setia merekodkan bacaan tertinggi iaitu 190, diikuti Shah Alam (178), Petaling Jaya (175), Banting (173) dan Klang (170).
Kuala Selangor turut menunjukkan peningkatan kepada 152 berbanding kategori sederhana pada sebelah pagi, sekali gus meletakkan semua stesen pemantauan utama di Selangor dalam kategori tidak sihat.







